Skip to main content

ADAB PERBEZAAN PANDANGAN


ALLAH tidak menjadikan manusia hidup bersendirian. Disebabkan kepakaran individu terbatas, secara fitrahnya manusia perlu berada dalam kumpulan untuk membolehkan mereka hidup secara sempurna. Itu menjadikan manusia sebagai makhluk berpolitik, bermasyarakat dan bernegara.

Dalam interaksi sosial kehidupan bermasyarakat, konflik sentiasa berlaku akibat perbezaan kepercayaan, ideologi, fahaman, adat istiadat, kepentingan diri atau kaum dan sebagainya. Hakikatnya, manusia mempunyai potensi yang besar untuk berkonflik hingga membawa kepada perpecahan, malah pertumpahan darah. Perkara begini harus dielakkan bagi menjaga keharmonian.

Fuqaha mazhab terdahulu terdiri daripada Imam Abu Hanifah, Maliki, Syafie dan Ahmad Ibn Hambal saling menghormati antara mereka. Tiada sebarang kajian menunjukkan mereka saling bertelagah. Tetapi perbezaan pandangan yang berlaku di kalangan mereka lebih bersifat ilmiah. Ini kerana semua mereka memiliki keperibadian yang mulia di samping memiliki adab-adab yang terpuji. Antara adab-adab tersebut ialah NIAT.

Pastikan niat ikhlas kerana ALLAH dalam menyampaikan ilmu.

ALLAH S.W.T berfirman:
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”
(Al Bayyinah ayat 5).

Apabila berlaku perbezaan pendapat, perkara terpenting yang akan menjamin kesejahteraan dan ikatan ukhuwah sesama Islam ialah keikhlasan. Orang yang ikhlas hanya akan memikirkan keredhaan ALLAH. Dengan berpegang kepada matlamat ini, dia akan sentiasa mencari penyelesaian yang terbaik berdasarkan Al Quran dan Al Sunnah mengikut kefahaman generasi terawal. Dia tidak sama sekali mendahulukan kepentingan politik atau pegangan peribadinya semata-mata ingin menegakkan benang basah.

Tidak memenangkan diri apabila terdapat perbezaan pandangan.

ALLAH S.W.T berfirman:
“Dan apabila dikatakan kepadanya, “Bertaqwalah kamu kepada ALLAH” timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka Jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka Jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.” (Surah Al Baqarah ayat 206).

Orang yang ikhlas tidak akan memikirkan untuk menang berhujjah dalam sesuatu perbincangan. Sebaliknya lebih mementingkan kebenaran walaupun kebenaran itu tersasar jauh daripada prinsipnya dan tidak memihak kepadanya. Baginya kalah atau menang bukan perkara utama, tetapi matlamat tertinggi yang perlu dicapai ialah memartabatkan kebenaran.

Tidak menonjolkan diri

ALLAH S.W.T. berfirman:
“Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikan sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).” (Surah Az Zumar ayat 49).

Keikhlasan terserlah di dalam diri seseorang mukmin apabila dia menjadikan kebenaran itu sebagai ikutan dan bukan menjadikan dirinya sebagai ikutan. Dia tahu apa sahaja kelebihan adalah pemberian daripada ALLAH S.W.T. yang menuntutnya supaya bersyukur dan bukan bermegah-megah. Konsep ini akan membentuk peribadi yang mulia, sentiasa rendah diri dan tidak takabbur.

Kesimpulan

Seorang mukmin yang mencintai kebenaran perlu mmperbaiki niat mereka untuk menegakkan agama ALLAH S.W.T. Sekiranya adab pertama ini dapat dibentuk dengan baik, maka persengketaan, perbalahan tidak akan berlaku sesama manusia walaupun wujud perbezaan pandangan dan pendapat dalam kalangan mereka. Semua masalah akan dapat diselesaikan jika perbincangan yang bersifat ilmiah dilakukan sekali gus, mengamalkan sikap berlapang dada.

CERITERA SI PERI


Seorang lelaki sedang leka memerhatikan sesuatu. Apakah yang sedang berkisar di mindanya ketika itu?

Seekor semut berusaha keras mengheret sehelai daun besar kembali ke sarangnya. Walaupun berjaya, daun itu terlalu besar untuk ditarik masuk. Berkali-kali mencuba tetap gagal. Akhirnya semut terus masuk ke dalam dan meninggalkan daun tersebut di luar sarang. 

YANG TERSURAT:
Semut itu tamak, mengheret daun untuk jadi makanannya sendiri. 

YANG TERSIRAT:
Semut itu masuk ke dalam sarang untuk meminta bantuan dari rakan-rakan lain supaya mengerat daun tersebut menjadi kepingan kecil dan membawa masuk secara berdikit-dikit untuk dijadikan makanan bersama. 

Yang tersurat dan tersirat bergantung pada pengamatan yang dibuat oleh mata zahir dan mata batin. Manakah yang betul? Salah satu telahan itu mungkin betul.

Namun, pengamatan mata batin memerlukan analisis yang jauh lebih mendalam. Mencari hikmah di sebalik sesuatu kejadian. Tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kesimpulan. 

Wallahu'alam.







Comments

Popular posts from this blog

BANGKITLAH!

Dalam menjalani kehidupan jangan terlalu meletak harapan kepada manusia, kerana harapan itu akan berhujung dengan kesedihan dan kekecewaan. Tetapi bergantung haraplah kepada ALLAH. Dengan DIA, kita tidak akan rasa sakit, kecewa, sedih dan seumpamanya. ALLAH Maha Mengetahui setiap perlakuan hamba-Nya. Seperti firman ALLAH dalam surah Al Insyirah ayat 8 : وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَب "Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." Allah datangkan ujian supaya kita jadi kuat dan bijak menangani permasalahan. Allah tangguhkan sesuatu supaya kita bersabar menanti ketibaannya. Allah hilangkan sesuatu supaya kita redha dengan ketentuan-Nya. Dalam hidup ini percayalah, tidak ada orang yang tidak pernah terjatuh, bukan sekali malah berkali-kali. Pun begitu jangan biarkan diri berada dalam keadaan terjelepuk di bawah seperti itu terlalu lama. Bingkaslah dan bangkitlah, setiap kali kita terjatuh. Ada pengajaran dan pengalaman berharga yang kita perolehi d...

JUTAWAN DUNIA DAN AKHIRAT

MEREKA yang digolongkan sebagai 'jutawan' mempunyai matlamat kewangan yang besar dan jelas, merangkumi matlamat menyimpan, matlamat melabur dan juga matlamat mengembangkan lagi kekayaan.  Mereka percaya bahawa wang yang disimpan adalah  pendapatan. Langkah permulaan bagaimana mereka boleh mereliasasikan matlamat ini adalah dengan mempunyai bajet. Asas kepada bajet adalah "bayar diri sendiri" 10% dari pendapatan terlebih dahulu setiap bulan sebelum membelanjakannya. Dengan cara ini, simpanan 10% pasti tidak diusik sebelum membelanjakan baki pendapatan bulanan. Sekiranya gaji adalah RM3,000, pastikan RM300 disimpan terlebih dahulu sebelum menyentuh baki RM2,700 untuk perbelanjaan yang lain.  Ada juga yang kata, hendak simpan 10% dari gaji bulanan pun susah sebab duit tidak akan cukup. Bagaimana pula dengan ini? Sekiranya sukar menyimpan 10%, mulakan dengan kecil. 1% juga memadai. Sekiranya gaji RM3,000, mustahil tidak boleh simpan RM30 dulu, bukan? Selep...

MANUSIA YANG LEBIH SESAT DARIPADA BINATANG

  (سورة الأعراف) وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ (١٧٩) "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia; mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat ALLAH), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan ALLAH), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat ALLAH). Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."  (Al-A’raaf ayat 179)   Mukaddimah   Tujuan makhluk jin dan manusia diciptakan oleh ALLAH adalah supaya mereka mentauhidkan dan beribadah kepada ALLAH (Al-Zaariyat ayat 56). Beribadat kepada ALLAH adalah bukti kita mensy...