Skip to main content

MANUSIA YANG LEBIH SESAT DARIPADA BINATANG


 

(سورة الأعراف)
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ (١٧٩)
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia; mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat ALLAH), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan ALLAH), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat ALLAH). Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."
 (Al-A’raaf ayat 179)
 
Mukaddimah
 
Tujuan makhluk jin dan manusia diciptakan oleh ALLAH adalah supaya mereka mentauhidkan dan beribadah kepada ALLAH (Al-Zaariyat ayat 56). Beribadat kepada ALLAH adalah bukti kita mensyukuri nikmat pemberian-NYA. Dan di antara nikmat paling utama yang wajib kita syukuri ialah: Telinga, Mata dan Hati. Ketiga-tiganya pasti akan ditanya oleh ALLAH di akhirat nanti. Dan dengan nikmat-nikmat tersebut kita boleh menjadi manusia yang sempurna dan memiliki ilmu pengetahuan.
 
Firman Allah:
  
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawaban (ditanya)."
(Al-Israa ayat 36)
 
 وَاللّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Dan ALLAH yang mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan DIA memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur”.
(An-Nahl ayat 78)
 
Di antara kesimpulan yang dapat diambil daripada ayat-ayat di atas ialah:

 1.         Telinga, mata dan hati termasuk nikmat utama. Ketiga-tiganya disebut secara khusus dalam ayat untuk ditanya dan diminta pertanggungjawabannya di akhirat nanti, walaupun sebenarnya anggota-anggota lain juga akan ditanya.
 
2.         Tujuan pemberian ketiga-tiga nikmat tersebut ialah agar kita bersyukur kepada Yang Maha Pemberinya (ALLAH S.W.T.).
 
Namun demikian, realitinya sungguh sedikit manusia yang dapat mensyukuri nikmat tersebut. Ini sebagaimana firman ALLAH:
 
وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ
“Dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali yang bersyukur”.
 (As-Sajadah ayat 9)
 
 Manusia: Antara Malaikat Dan Binatang
 
Pada garis besarnya makhluk terbahagi kepada tiga golongan iaitu:
 
1.         Golongan Malaikat. Makhluk ini ALLAH berikan akal tanpa nafsu. Itu sebabnya mereka sentiasa patuh kepada ALLAH dan tidak pernah durhaka.
 
2.         Golongan Haiwan (binatang). Makhluk ini ALLAH berikan nafsu tanpa akal. Itu sebabnya mereka tidak ada daya penimbang ukuran antara baik dan buruk.
 
3.         Golongan Jin Dan Manusia. Tujuan penciptaan mereka adalah sama, oleh itu ALLAH S.W.T. anugerahkan kepada mereka kedua-duanya, iaitu Akal dan Nafsu.
 

AKAL sentiasa mendorong manusia agar berbuat baik dan NAFSU pula sentiasa mendorong manusia agar berbuat jahat. Jika akal seseorang dapat menundukkan nafsunya, maka ia akan menjadi manusia yang baik. Malahan mungkin juga lebih baik daripada Malaikat seperti Nabi Muhammad (sallallahu alaihi wasalam) dapat mengatasi kedudukan Jibrail dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Malaikat Jibrail hanya mampu naik sampai ke Sidratul Muntaha, tetapi Baginda Rasul dapat naik lebih tinggi daripada itu untuk menemui ALLAH S.W.T.
 
Demikian juga menurut setengah riwayat tentang jenis Jin yang bernama Azazil yang pernah diangkat menjadi imam para malaikat di langit setelah ia beribadah kepada ALLAH selama 8000 tahun di bumi dan di langit.
 

Sebaliknya jika nafsu dapat menundukkan akal maka ia boleh menjadi manusia yang jahat. Malahan mungkin lebih jahat dan lebih sesat daripada binatang. Ini sebagaimana kandungan ayat yang menjadi topik pembahasan kita.
 
Tafsiran Ayat:
 
Dan sesungguhnya KAMI jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia
Maksudnya: ALLAH menyatakan dalam ayat ini bahawa kebanyakan penghuni neraka terdiri daripada golongan jin dan golongan manusia. Ini kerana matlamat mereka dijadikan oleh ALLAH adalah sama iaitu agar mereka beribadah kepada Allah.
 
Apakah sifat-sifat manusia dan jin tersebut sehingga mereka mengalami nasib sedemikian? ALLAH S.W.T menjelaskan pada ayat yang sama bahawa di antara sebab utamanya ialah kerana mereka tidak mensyukuri nikmat telinga, mata dan hati. 

Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat ALLAH), dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan ALLAH), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat ALLAH)
Maksudnya: Dalam ayat ini pula ALLAH S.W.T menyatakan secara jelas mengapa kebanyakan manusia dan jin dilemparkan-NYA ke dalam neraka Jahannam iaitu kerana mereka tidak mensyukuri ketiga-tiga nikmat di atas iaitu nikmat hati, nikmat mata dan nikmat telinga.
 
Imam Al-Ghazali berkata dalam kitabnya Ihyaa ‘Uluumiddin menyatakan bahawa rukun syukur ada tiga:
 
1.         Mengucap syukur dengan lidah (Alhamdulillah)
2.         Pengakuan dalam hati bahawa nikmat adalah anugerah ALLAH
3.         Menggunakan nikmat pada jalan yang diredhai ALLAH.
 
Atas dasar ini, seseorang belum lagi digolongkan telah bersyukur kepada ALLAH kalau hanya sekadar mengucapkan syukur dengan lisannya (Alhamdulillah) dan pengiktirafannya bahawa nikmat itu pemberian ALLAH sekiranya tidak diikuti dengan rukun ketiga iaitu menggunakan nikmat tersebut sesuai dengan tujuan nikmat itu diciptakan oleh ALLAH.

 
Mensyukuri nikmat hati (minda) ialah dengan berusaha keras memahami ayat-ayat ALLAH sama ada ayat-ayat Al-Quraniyah ataupun ayat-ayat Kauniyah (kejadian dalam alam maya ini). Lanjutan daripada pemahaman yang mendalam itu akan membuahkan natijah bahawa hanya ALLAH sahaja yang wajib disembah dan dipatuhi dalam hidup ini.
 
Mensyukuri nikmat mata (penglihatan) dan nikmat telinga (pendengaran) ialah dengan menggunakannya untuk melihat akan kekuasaan ALLAH dan mendengar pengajaran dan nasihat yang terkandung dalam ayat-ayat ALLAH. Dan selanjutnya dengan bersikap demikian akhirnya dia akan insaf dan menjadi manusia yang lebih bertaqwa kepada ALLAH dan istiqamah dengan ajaran Islam.
 
Tetapi sekiranya ketiga-tiga nikmat tersebut tidak disyukuri sebagaimana semestinya maka ALLAH S.W.T menggolongkan mereka seperti makhluk binatang, malahan lebih sesat lagi daripada binatang. Ini sebagaimana firman Allah SWT selanjutnya ...
 
Mereka itu bagaikan binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi
Maksudnya: Mereka yang mempunyai sifat sebagaimana yang tersebut di atas adalah seperti binatang ternak: unta, kerbau, lembu, kambing. Mengapa demikian? Kerana nikmat telinga dan mata hanya mereka gunakan untuk memenuhi keperluan syahwat jasmani atau duniawi sahaja. Malahan kedudukan mereka lebih sesat daripada binatang. Dan mengapa pula demikian? Mereka sepatutnya mempunyai kelebihan yang tidak ada pada binatang iaitu alat pembezaan antara yang baik dan buruk, antara yang haq dan batil iaitu hati atau minda atau akal.
 
Mereka itulah orang-orang yang lalai
Maksudnya: Mereka lalai akan kemaslahatan (kebaikan) mereka pada dua kehidupan iaitu kehidupan di dunia dan di akhirat. Jika manusia benar-benar memahami dan mengikuti panduan Al-Quran tentang rahasia penciptaan manusia niscaya mereka akan mempergunakan nikmat tersebut dengan sebaik-baiknya, bukan hanya untuk kebaikannya di dunia yang sementara ini sahaja bahkan terlebih lagi untuk memperbanyak perbekalan di alam akhirat yang kekal abadi nanti.
 
Peringkat Kelalaian Manusia:
 
Kelalaian manusia tidak sama darjatnya.
1.         Ada di antara mereka yang lalai daripada menghayati ayat-ayat ALLAH yang ada pada diri mereka dan alam semesta (ayat kauniyah), yang sebenarnya boleh menolong mereka mengenali ALLAH (Ma’rifatul Llaah).
2.         Ada pula yang lalai daripada menggunakan minda mereka untuk memikirkan tentang matlamat utama mereka diciptakan oleh ALLAH.
3.         Ada juga yang lalai terhadap keperluan mereka yang asasi; baik sebagai individu, atau dia sebagai ketua rumah tangga, atau dia sebagai anggota masyarakat, atau dia sebagai salah seorang muslim atau muslimat.
 
Kesimpulan
 
1.         Penghuni neraka Jahannam kebanyakannya terdiri daripada Jin dan Manusia yang jahil dan lalai. Kejahilan mereka kerana lalai mensyukuri nikmat-nikmat ALLAH.
2.         Pendengaran, Penglihatan dan Hati termasuk nikmat yang paling utama. Siapa yang pandai mensyukurinya akan bahagia di dunia dan di akhirat. Tetapi jika sebaliknya, mereka boleh menjadi makhluk yang lebih sesat daripada binatang.
3.         Jika hati selalu digunakan untuk memikirkan akan kebesaran ALLAH dan memahami ayat-aya-NYA (Quraniyah dan Kauniyah) dan jika mata selalu digunakan untuk melihat kekuasaan ALLAH dan telinga untuk mendengar pengajaran ALLAH yang terkandung dalam firman-NYA, Insya ALLAH kita termasuk ke dalam golongan yang mensyukuri niKmat-niKmat ALLAH.

(Ditulis oleh Ustaz Dr Abdullah Yasin). 
 

Comments

Popular posts from this blog

IMAN BUKAN WARISAN

6 - 1 = 0. Jawapan ini betul. 6 - 1 = 5. Jawapan ini salah. Angka 6 yang dirujuk di sini ialah ... 6 RUKUN IMAN: Pertama: Beriman kepada Allah Kedua: Beriman kepada Malaikat Ketiga: Beriman kepada Kitab Kempat: Beriman kepada Rasul Kelima: Beriman kepada Akhirat Keenam: Beriman kepada Qadak & Qadar Kurang 1 Rukun maka runtuhlah Iman. Menurut Imam Malik dan Imam Syafie, "Iman ialah Tasdiq (yakin) dengan hati, Ikrar dengan lidah dan beramal dengan jasad akan semua tuntutan RUKUN ISLAM. Iman tidak boleh diwarisi atau dipusakai kerana ia adalah HAK PERIBADI seseorang secara eksklusif. Kerana itulah pada masa ini ramai manusia yang lahir sebagai orang Islam tetapi gagal mengabdikan hidup kepada ALLAH. 6 bentuk paling ramai yang TIDAK BERIMAN: * MENYEKUTUKAN ALLAH dengan makhluk, tidak yakin dengan kuasa ALLAH, cinta ALLAH dan takdir ILAHI. * Melihat agama Islam sama seperti agama lain, yang melahirkan fahaman PLURALISME. * Memilih ALLAH dalam bab yang MEMUDAHKANNYA tetapi meninggal

NASIHAT EMAS DARI IMAM SYAFIE

*Barang siapa yang menginginkan Husnul Khatimah, hendaklah ia selalu bersangka baik dengan manusia.* *Barang siapa mengaku dapat menggabungkan dua cinta dalam hatinya, cinta dunia sekaligus cinta Allah, maka dia telah berdusta.* *Jangan cintakan orang yang tidak cintakan ALLAH. Kalau dia boleh meninggalkan Allah, apalagi meninggalkan kamu.* *Cintailah orang soleh, kerana mereka memiliki kesolehannya, cintailah Nabi Muhammad S.A.W kerana dia kekasih ALLAH S.W.T dan cintailah ALLAH S.W.T, kerana dia kecintaan Nabi dan orang soleh.* *Apa saja yang menjadi rezekiku, tidak akan luput dariku, walau berada di dasar lautan yang paling dalam.* *Jika tidak boleh taat, jangan kau bunuh imanmu dengan maksiat.* *Jika kamu tidak mampu membantu Agamamu, setidaknya jangan berdiri dibarisan perosak Agamamu.* *Segala kebaikan Dunia dan Akhirat terhimpun pada lima perkara: 1- Kaya diri. 2- Menahan diri daripada segala kezaliman. 3- Mengusaha yang halal. 4- Pakaian Taqwa. 5- Tenang hati dengan Allah SWT p

ZAMAN MUNCUL IMAM MAHADI DAN NABI ISA A.S

Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: Manusia sering bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah manjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan.  Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak kenali. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Y