Pada 12 Februari lalu, genap lima tahun pemergian Almarhum Tuan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menghembuskan nafas terakhir ketika usianya 84 tahun. Pemergian Allahyarham tokoh ulama dan ilmuan agama ini ditangisi jutaan rakyat, tanpa mengenal batas usia dan bangsa serta fahaman politik. Sesungguhnya Tuan Guru Nik Aziz sukar dicari ganti, ibarat hilang sudah sebutir permata berharga. Kepimpinan zuhud dan keperibadian mulia mantan Menteri Besar dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bakal dirindu seluruh rakyat.
Berikut merupakan beberapa kata mutiara yang terbit dari minda insan hebat ini:
➤Semasa Lutfi Othman menjadi Pengarang Majalah Detik, dia mlihat Tok Guru tandatangan dokumen seakan melayangkan pen sahaja. Lalu, Lutfi berseloroh, “Tekan kuat sikit mata pen tu Tok Guru, baru clear."
Sambil tersenyum Tok Guru membalas, “Ambo guno pen pejabat, Hok rakyat.. Tekan kuat takut membazir.. Kito tok buleh wat mudoh harto rakyat nih.”
➤Husam, bekas setiausaha politik Tok Guru pernah bercerita, setiap kali tidur di hotel bersama Tok Guru, Tok Guru tidur atas lantai dengan alas sejadah dan membiarkan katilnya kosong. Husam berkata, “Tido atah katil Tok Guru, sejuk tubuh tu..”. Tok Guru membalas, “Tido atas katil.. Tempat sedap.. Takut jenegho (terlelap) tok bangun tahajud.. Tido atas lantai… Tempat tok seleso.. Mudoh sedar nak buat tahajud.”
➤”Cuba beritahu saya mana satu yang Nik Aziz punya. Harta saya malah tubuh saya hak Allah. Saya pinjam jah, jadi kita ni jangan sombong sangat dengan barang pinjam. Kita atas muka bumi jangan bermewah sangat. Nok senang sentiasa, belajar hidup susah. Takut kita dalam kubur terkejut bila mari susah (bergurau). Jadi berlatih susah dulu atas muka bumi ni.. (Tuan Guru Nik Aziz, Majalah Tamadun).
➤Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Azman Ibrahim bercerita, Allahyarham pernah pergi ke tempat kenduri. Apabila selesai kenduri dan hendak balik Allahyarham pergi bersalam dengan tuan rumah sambil bercakap dengan lemah lembut, “Mintak maaf banyok, ambo tak dok pitih (duit) nak bagi.” Mengalir air mata tuan rumah. Dia jemput Tok Guru bukan kerana nak minta duit. Kehadiran Tok Guru sudah suatu rahmat besar bagi tuan rumah.
➤Pada suatu hari, seorang rakyat berkunjung ke rumah Tok Guru minta bantuan hendak bayar yuran sekolah anak. Bila tetamu beritahu dia datang dari Pasir Puteh, Tok Guru berkata, “Kesiannyoo, ambo tak dok pitih (duit) nak wi.” Namun meskipun ada dalam poket cuma 20 ringgit, Tok Guru bagi ganti balik tambang hamba Allah ini kerana datang dari jauh. Kata Tok Guru, “Kalu dia tak tambang teksi datang ke sini, sepatutnya dalam poket dia masih ada lagi 20 riyal.” (Harakahdaily.)
➤Biasanya, Tok Guru minta pembantunya tolong ambil duit dari mesin ATM. Bila Pembantu pergi cucuk kad ATM, tengok tak ada duit. Orang yang pernah terima cek dari Tok Guru, mereka tak pelik kalau Tok Guru pesan. “Cek ni gi tukar hujung bulan. Jangan gi loni, tak dok pitih.”
➤"Hargailah denyut nafas yang dipinjam-NYA. Sesungguhnya, nyawa yang dianugerahkan umpama bateri pada sesebuah kereta. Tanpa bateri, kereta tidak akan dapat dihidupkan. Ada bateri yang menunjukkan tanda untuk rosak. Ada juga yang tiba-tiba sahaja rosak. Begitulah nyawa kita ; adakalanya tanpa tanda, kita dipanggil ILAHI."
➤"Terlalu banyak di atas dunia ini benda-benda yang di luar kemampuan kita. Dan kalau kita kaji, orang kata 99% daripada urusan dunia ini di luar daripada kemampuan kita. Satu peratus sahaja Tuhan beri kepada kita untuk ikhtiar sikit sebagai cubaan.
Kalau satu peratus pun kita sudah agah (sombong), apa kata kalau diberi kepada kita 99% lagi. Makin lagi teruk hidup kita manusia di muka dunia."
➤"Jika kereta rosak, mekanik akan membaikinya. Jika tubuh badan bermasalah,doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku ALLAH SWT sebagai Tuhan tetapi enggan merujuk kepada syarat ALLAH bila berdepan dengan masalah."
➤"Perbezaan yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ilmu. Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan mengajar. Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang lain. Berbeza dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangkan dengan lebih meluas."
➤"Kita tanam lada, 40 hari dapat hasil boleh jual. Tanam terung, dua tiga bulan dapat hasil. Tapi keuntungan tidak besar kerana itu hanya projek kecil-kecilan. Jika projek yang besar seperti tanam getah, bukan 40 hari tapi memakan masa bertahun. Semakin besar projek tersebut, semakin besar untungnya. Demikianlah juga pahala yang merupakan projek paling besar. Untungnya sangat besar jadi padanlah dengan menunggunya begitu lama iaitu selepas mati baru mendapat hasil."
➤"Jika memandu kita perlukan lesen, menggunakan senjata api perlukan lesen, maka hidup di dunia juga tentulah perlukan lesen. Lesen itu ialah Islam. Hidup di dunia dengan menolak Islam ialah umpama hidup tanpa lesen."
➤"Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan merasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita daripada terus melakukan dosa. Tanpa ada yakin seperti itu manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun ke gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun ke neraka."
➤"Pemuda adalah batu-bata dalam perjuangan Islam. Kerana itu pemuda mesti lengkapkan diri dengan ilmu dan perbanyakkan amalan sunat. Saya impikan untuk menjadi makmum di mana pemuda imamnya. Mendengar kuliah yang disampaikan oleh pemuda, saya hanya mahu datang dan dengar."
➤"Allah menciptakan di dunia ini orang-orang kurang upaya untuk menjadi ujian kepada orang yang sempurna. Di akhirat kelak akan ditanya, setakat manakah kita orang-orang yang cukup upaya ini menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang upaya. Sebab itu, saudara-saudara kita yang kurang upaya sedikit untung kerana terlepas daripada soalan ini di akhirat nanti. Manakala yang sempurna tubuh badan pula perlulah pastikan duit yang dia ada pada hari ini sedikit sebanyak dia peruntukkan untuk beli pahala lain selain beli lauk-pauk dan lain-lain keperluan hidup."
➤Terlalu banyak benda yang
manusia hendak daripada Allah Ta'ala. Oleh kerana begitu banyak benda, maka
Tuhan pilih satu sahaja. Dalam banyak-banyak benda
yang hendak minta tolong kepada Aku ini, Aku hendak suruh kamu minta kepada Aku
satu perkara. Apabila kamu dapat satu perkara ini ibarat kamu dapat semua. Apa
dia? Ia adalah
HIDAYAH." (Kupasan Tafsir Surah Al Fatihah Tuan Guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat muka surat 62)
➤Ambil wuduk tidak perlu banyak, tetapi biar
sempurna. Basuhan dengan air itu hanyalah simbolik. Yang hendak dibasuh bukanlah najis yang ada di
wajah dan anggota kita, tetapi kotoran dosa yang dibawa oleh mata, mulut,
telinga, tangan dan kaki.
CERITERA MUROBBI
"Orang dulu-dulu miskin sampai nak beli selimut pun tidak ada duit. Ada suami isteri yang tidur berlaga belakang sebab nak tumpang panas. Tapi Alhamdulillah sampai ke usia tua tak pernah berbalah sampai cerai berai. Orang hari ini gaji besar, dua tiga bulan bercerai. Ini menunjukkan bahagia itu bukan pada harta yang banyak, tetapi pada jiwa yang tenang. Tenang ini bukan boleh beli di market, tapi ia datang daripada ALLAH S.W.T."
(Petikan ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kuliah Medan Ilmu 5 Januari 2010.)
Hidup kita ni pasangannya mati. Seperti pagi pasangannya petang. Dunia pasangannya akhirat. Pasangan syurga adalah neraka.
Hidup ini saling tumpang-menumpang. Di situlah lahirnya syukur kita pada
ALLAH. Sedarlah pada sepinggan nasi yang kita makan. Di situlah ada nasi yang diusahakan
oleh petani, ada ikan yang dicari oleh nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh
penternak.
Bayangkan betapa banyak pihak yang bekerja
untuk memberikan sepinggan nasi pada kita. Alangkah kerdilnya kita ni di bumi
Allah.
Comments
Post a Comment