Skip to main content

HIKMAH MUSIBAH



TIDAK ada satu pun di muka bumi ini yang boleh berlaku tanpa izin ALLAH. Ramai orang tidak terkesan dengan mujahadah. Tetapi terkesan dengan musibah.

Umpama tangan mengetuk pintu, terlalu perlahan dan tidak didengar. Tetapi bila ditimpa musibah, kesannya menikam lebih mendalam dengan luka yang berganda sakitnya.

Musibah yang kita anggap tidak adil akan membawa kita berpaling dari jalan agama. (Naudzubillah min zalik!) Terus tersesat tanpa berfikir dengan waras bahawa ujian adalah lambang kasih sayang Pencipta kepada hamba.

Musibah itu seolah-olah pintu yang ditendang dengan kuat. Bukan sahaja terbuka tetapi terus tercabut dan terbalik. Musibah yang membuatkan diri tersungkur. Berasa hilang dan kosong. Tiada dahan untuk berpaut saat benar-benar memerlukan pergantungan.

Lalu siapa yang boleh membantu pada ketika itu? Mengadu pada ibu dan bapa. Meluahkan kepada sahabat. Tetapi rasa terluka itu hanya sembuh sekejap sahaja. Kemudian rasa sakit datang semula. Air mata berderai deras.

“Ya ALLAH, kasihanilah aku. Bantulah aku. Beri aku kekuatan!"

Itulah luahan yang benar-benar ikhlas dan luhur. Sepenuh pengharapan dan yakin hanya kepada DIA. Berzikir, menyebut ayat-ayat-NYA, dengan harapan hati yang terluka dapat dipulihkan. Perasaan yang serabut akan tenang. Semoga kesakitan berlalu pergi. 

Bangun pada hening awal pagi, berwuduk, menunaikan solat sunat, mentadabbur kalimah-NYA, demi membeli ketenangan dan kedamaian daripada Pencipta. Hanya DIA yang boleh membantu. Hanya DIA...

Bermula dari musibah, datangnya muhasabah. Jalan yang dilalui selama ini salah. ...hanyut. Lalu datanglah azam tidak mahu lagi mengulangi kebodohan yang sama. Meninggalkan jalan hitam, dan mendekati jalan putih. Sungguh menggunung dosa selama ini. Jika dosa itu berbau, barangkali diri lebih busuk daripada tong sampah yang bertahun terperap, hanyir dan memualkan. Betapa selama ini, sebelah kaki sudah melangkah ke neraka. Nauzubillah min zalik!


Musibah itu mendidik hati, mahu jadi hamba-NYA yang lebih baik. Mohon agar hati ini tidak ditawan jika hanya sekadar suka-suka.

Bila hati dilimpahi nur Ilahi, datanglah rasa suka kepada kebaikan. Al Quran mula menjadi teman akrab. Terasa lapang dada apabila mengalunkan ayat-ayat, bersolat tahajud dan beribadah pada hening pagi. 

Ibadah awal pagi yang membawa rasa  tenang, rasa dekat dengan ALLAH saat berdoa dan memohon keampunan-NYA.

Sesungguhnya, musibah itu satu rahmat. Teguran yang membawa kita jadi lebih tawaduk. Maha suci ALLAH, dihilangkan mentari, digantikan pelangi.

Semoga kita istiqamah dengan perubahan ini. Bukan sekerat jalan. Biarlah ketika kita dijemput-NYA, rasa kehambaan ini yang kita bawa...


Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Setiap musibah, kepenatan, sakit, dukacita, runsing, kesusahan, walaupun sekadar tercucuk duri yang menimpa seorang Muslim atau Muslimah, maka ALLAH akan menghapuskan dengan sebabnya akan dosa-dosanya. (HR al-Bukhari dan Muslim).

Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan, bahawa pada suatu hari beliau masuk ke tempat Rasulullah s.a.w. sedang mengidap demam panas. Nabi s.a.w. bersabda kepadanya: “Saya menderita dua kali ganda daripada orang biasa.”

Berkata Ibnu Mas’ud: “Itu kerana tuan akan memperoleh pahala dua kali ganda daripada orang biasa?”

Jawab Nabi: “Benar, demikianlah keadaannya. Tiada seorang Muslim yang menderita, sekalipun berupa duri atau lebih daripada itu, melainkan ALLAH akan menghapuskan keburukannya dan digugurkan dosa-dosanya laksana gugurnya daun-daun dari pokoknya.”

Para nabi yang maksum dari dosa pun ALLAH uji. Inikan pula manusia biasa. Antara hikmah, tujuan dan kelebihan sakit ialah membersihkan dosa, menggugurkan kesalahan, mengurangkan maksiat, menambahkan kebajikan, menambah pahala di atas kesabaran dan keredhaan menanggungnya, mengangkat darjat dan memuliakan kedudukan seseorang hamba serta menimbulkan rasa insaf dan taqwa, lalu mendekatkan diri kepada Allah dengan beristighfar, bertaubat dan beribadah.

Bila hukum qadak dan qadar ALLAH Yang Maha Pengasih dapat difahami dengan penuh keimanan, mukmin akan sentiasa mendapat rahmat ALLAH dalam semua keadaan.







Comments

Popular posts from this blog

9 WASIAT ALLAH DALAM AL HUJURAT

9 wasiat ALLAH dalam Surah Al-Hujurat tentang interaksi sesama manusia..  Wasiat 1: “فَتَبَيَّنُوٓاْ”  Selidik suatu khabar yang sampai padamu, biar betul dan jelas.. Wasiat 2: “فَأَصۡلِحُواْ ”  Damaikan saudara yang bersengketa. Jangan jadi batu api atau melaga-lagakan.. Wasiat 3: “وَأَقۡسِطُوٓاْ‌ۖ”    Berlaku adil. Jangan pilih bulu, tak kira siapa.. Wasiat 4: “لَا يَسۡخَرۡ”  Jangan mencemuh/merendahkan orang lain. Jangan mudah mengeji dan menghina orang.. Wasiat 5: “وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ”   Jangan mengaibkan. Jangan buka aib orang.. Wasiat 6: “وَلَا تَنَابَزُواْ”   Jangan melabel. Jangan cepat nak melabel orang atau kumpulan, perkara yang belum jelas.. Wasiat 7: “ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ” Jauhi dari banyak berprasangka buruk. Jangan cepat percaya sesuatu perkara, siasat dahulu.. Wasiat 8: “وَلَا تَجَسَّسُواْ”  Jangan mencari-cari kesalahan orang lain. Biar ALLAH menentukan.. Wasiat 9: “وَلَا يَغۡتَب”  Jangan mengumpat. ...

BERGANTUNG HARAPAN HANYA PADA ALLAH

PESANAN Syeikh Abdul Qadir Al Jailani: "Jika Engkau masih merasa takut dan berharap pada manusia, maka Dia menjadi tuhanmu. Jika Engkau masih menghadapkan hatimu pada harta dunia, maka Engkau adalah budaknya dan Ia menjadi tuhanmu. Tak ada cinta yang paling abadi, kecuali cinta seorang hamba kepada ALLAH yang Pencinta dan tak akan meninggalkan kekasihnya, baik saat suka mahupun saat derita". "Wahai orang yang cenderung mengadukan musibahnya kepada makhluk, tanyalah dirimu, apakah pengaduanmu kepada makhluk berguna bagimu? Sesungguhnya semua makhluk yang engkau adukan segala masalahmu, tidak ada daya untuk menolongmu, tidaklah ada gunanya bagimu tidak juga bisa membahayakanmu tanpa keizinan dari Penciptamu. Jika engkau mengharap dan bergantung kepada makhluk, jangan sampai menyekutukan Allah. Niscaya mereka akan menjauhkan dirimu dari jalan AL HAQ,  iaitu jalan menuju keredhaan ALLAH.  Sebaliknya mereka akan menjurumuskanmu ke dalam murka ALLAH dan menghalangimu dari cura...

JANGAN BUAT 24 PERKARA INI

Ingat!! 1*Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan in tidak disukai oleh ALLAH s.w.t. 2*Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki(selipar).Dikhuatiri terbawa keluar najis dan mengotori seluruh rumah kita. 3*Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah @ sumbing. Makruh kerana ia membahayakan. 4*Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan. 5*Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat). 6*Jangan makan tanpa baca BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM dan doa makan.Nanti makanan yang dimakan adalah dari muntah syaitan. 7*Jangan keluar rumah tanpa niat membuat kebajikan @ kebaikan.Takut-takut mati dalam perjalanan. 8*Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan. 9*Jangan biar mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa. 10*Jangan bergaul bebas di tempat kerja. Banyak buruk dari baikn...