Skip to main content

KEHIDUPAN UMPAMA SIFIR 7



KEHIDUPAN dan umur manusia umpama SIFIR 7. Sifir ini akan berhenti di tangga ke 9. Kenapa? Jom renungkan.

7 x 1=7
Ketika umur di sifir 7x1,  kita percaya bermain itu perkara sangat penting.  Pagi petang siang malam hanya mahu bermain. Kita belum kenal dosa pahala, belum fikir tentang masa depan.

7 x 2=14
Ketika umur di usia belasan tahun, kita rasa kebebasan itu lebih penting. Kita ingin menyuarakan pendapat sendiri, ingin suara didengari, banyak memberontak dan sedikit keras kepala. Kita jadi degil dan tidak mahu mendengar kata.

7 x 3=21
Beranjak usia 20-an, kita rasa pendidikan dan kerjaya pula penting. Kita belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh kerjaya yang setimpal. Melihat kawan-kawan mendapat kerja yang baik kita rasa cemburu. Terasa rugi bila kita sia-siakan hidup kita sebelum ini.

7 x 4=28
Meningkat kepada lewat 20an, kita semakin sedar bahawa kewangan itu pula penting. Masa inilah kita sedang membina hidup. 

7 x 5=35
Ini tahap untuk membina keluarga, ingin membeli kereta, rumah, tanah, aset, melancong dan sebagainya.

7 x 6=42
Kita akur tatkala memasuki fasa ini . Usia semakin meningkat, bukan lagi masa untuk berehat. Saat kita berlumba mengumpul harta. 

7 x 7=49
Kita sedar perkara yang paling penting dalam hidup ialah kesihatan. Kekayaaan dan lain-lain tidak bermakna jika tahap kesihatan tidak memuaskan. Pada masa ini darah tinggi, kencing manis, jantung sakit  dan lain-lain sedang cuba melamar. Masa inilahtimbul rasa  menyesal kerana sibuk dengan kerjaya sehingga lupa untuk bersenam, menjaga kesihatan ketika umur remaja dan meningkat dewasa.

7 x 8=56
Memasuki era 50-an, tatkala kita sudah memiliki semua impian, akhirnya kita sedar bahawa perkara yang jauh lebih penting dalam hidup ialah kasih sayang. Kita rasa sunyi tatkala anak-anak sudah berumah tangga dan tinggal di tempat lain. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Kita rindu saat-saat indah bersama mereka di usia kecil. Rumah banglo besar, kereta besar seakan-akan tidak lagi bermakna, kosong dan sunyi sepi. 

7 x 9=63
Tatkala masuk usia 60-an, kita semakin sedar bahawa hanya amal ibadat perkara yang cukup bermakna sebagai bekalan menuju ke Akhirat. Segala kemewahan dan kebendaan tidak lagi bermakna. Kubur bakal menjemput bila-bila masa. Rumah hampir setiap hari menyatakan selamat tinggal. Mujurlah Allah masih membuka pintu dan menerima taubat yang kita pohon.

Kenapa berhenti di sifir 7 x 9? Sebab, kita umat Muhammad s.a.w  banyak berakhir di usia ini. Jika ada pun yang sampai ke sifir seterusnya, ia adalah bonus.

Demikianlah kitaran hidup. Kanak-kanak akan menjadi remaja. Remaja akan menjadi dewasa. Dan dewasa akan melangkah ke alam usia emas. Usia dan Dunia hanyalah pinjaman. Sia-sia jika hidup dengan perkara yang merugikan dan melalaikan. Terlibat dengan gejala dadah, berkawan dengan rakan yang melalaikan, atau terlalu sibuk dengan kebendaan.



Ingat!! Berapa ramai yang tidak lepas sifir 7. Ada yang terhenti di tangga 1, ramai juga yang umurnya di tangga ke 3. Hidup ini hanya sementara. Kejarlah akhirat sebelum tertiarap. Usah pula kita lupa tentang pentingnya dunia. Kerana dengan dunialah kita akan ke akhirat. 

Umur yang kita dapat hari ini adalah anugerah dari ALLAH. Hargailah dengan banyak mengingati ALLAH. Kumpulkan bekalan untuk kita bawa 'ke sana'. Walau di tangga mana pun kita sekarang, jangan tangguhkan taubat sebab kita manusia pendosa. Mati itu misteri. Kelak ketika terbaring di pembaringan, kita dah jadi bahan tontonan. 

Muhasabahlah

CERITERA RUMAH DI SYURGA

ANAK: “Hampeh!”

AYAH: “Pepagi dah marah-marah, nanti sempit rezeki!”

ANAK: “Saya dengan kawan-kawan tengah bertengkar pasal benda yang tular di FB sekarang ni?”

AYAH: “Ada kena mengena dengan kaliankah?”

ANAK: ”Tak adalah.”

AYAH: “Habis tu janganlah masuk campur. Jangan sia-siakan masa kita di dunia yang pendek ni dengan bertengkar. Jagalah dosa pahala sendiri. Bukankah Nabi s.a.w dah kata, akan di
jamin sebuah rumah di tepi syurga untuk orang yang berhenti berdebat walaupun dia betul, rumah di tengah syurga untuk orang yang tak mahu cakap dusta walaupun cuma buat lawak dan bergurau, dan paling best rumah di syurga paling tinggi untuk orang yang berakhlak baik!”          



Comments

Popular posts from this blog

MATI DI HATI JALALUDDIN RUMI

SETIAP ayat ada noktahnya. Setiap awal ada akhirnya.Moga bila tiba tarikh luput kita di dunia, kita adalah sebaik-baik hamba Allah yang soleh/solehah, yang mithali dan yang dirindui. Mari kita hayati kata-kata Jalaluddin Rumi mengenai kematian.  Ketika aku mati  Ketika keranda jenazahku dibawa keluar Jangan pernah kau fikir aku akan merindui dunia ini.  Jangan kau titiskan airmata  Jangan kau mengeluh atau menyesal  Aku bukannya jatuh ke dalam jurang yang mengerikan. Ketika kau melihat jenazahku diusung Jangan kau tangisi kepergianku  Aku bukannya pergi  Aku baru tiba menemui cinta yang abadi. Ketika kau tinggalkan aku di kubur  Jangan kau ucapkan selamat tinggal Ingatlah, kuburan itu hanyalah selabuh tirai Yang melindungi ysurga di sebaliknya. Kau hanya melihatku diturunkan ke liang lahad  Sekarang saksikanlah aku bangkit.  Mana mungkin ada pengakhiran saat matahari terbenam atau bulan te...

PENGHUNI LANGIT DAN BUMI

MANUSIA jangan menyangka bahawa hanya makhluk ALLAH di muka bumi ini saja yang menyembah ALLAH. Ketahuilah, setiap makhluk di langit dengan seisi alamnya juga turut patuh menyembah ALLAH S.W.T.  Di bumi, bukan sahaja makhluk manusia (yang beriman) sahaja berzikir kepada ALLAH, malah turut berzikir sama adalah makhluk lain seperti ikan, binatang, pokok kayu, gunung dan sebagainya. Maka apabila melihat langit dan alam yang luas ini ingatlah ayat-ayat Al-Quran berikut:  ALLAH S.W.T. berfirman: “Apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa ALLAH yang telah menciptakan langit dan bumi akan sanggup menciptakan yang serupa mereka?” (Surah Al Isra’: 99).  Firman-NYA lagi: “Tidaklah ALLAH yang telah menciptakan langit dan bumi sanggup menciptakan seumpama mereka? Memang, DIA Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yaasiin: 81)  Al-Quran telah menjelaskan tentang hakikat penduduk Alam Langit...Di antara ayat-ayat ALLAH, iaitu menciptakan makhluk yang merangkak di langit seper...

9 WASIAT ALLAH DALAM AL HUJURAT

9 wasiat ALLAH dalam Surah Al-Hujurat tentang interaksi sesama manusia..  Wasiat 1: “فَتَبَيَّنُوٓاْ”  Selidik suatu khabar yang sampai padamu, biar betul dan jelas.. Wasiat 2: “فَأَصۡلِحُواْ ”  Damaikan saudara yang bersengketa. Jangan jadi batu api atau melaga-lagakan.. Wasiat 3: “وَأَقۡسِطُوٓاْ‌ۖ”    Berlaku adil. Jangan pilih bulu, tak kira siapa.. Wasiat 4: “لَا يَسۡخَرۡ”  Jangan mencemuh/merendahkan orang lain. Jangan mudah mengeji dan menghina orang.. Wasiat 5: “وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ”   Jangan mengaibkan. Jangan buka aib orang.. Wasiat 6: “وَلَا تَنَابَزُواْ”   Jangan melabel. Jangan cepat nak melabel orang atau kumpulan, perkara yang belum jelas.. Wasiat 7: “ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ” Jauhi dari banyak berprasangka buruk. Jangan cepat percaya sesuatu perkara, siasat dahulu.. Wasiat 8: “وَلَا تَجَسَّسُواْ”  Jangan mencari-cari kesalahan orang lain. Biar ALLAH menentukan.. Wasiat 9: “وَلَا يَغۡتَب”  Jangan mengumpat. ...