Skip to main content

KALAU TAK SUKA PULANGKAN




KERETA dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatik terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj.

“Horey! Papa balik!” Kelihatan anak-anak berlari mengiringi keretanya.

“Ke tepi! Bahaya tau tak?” jerit Mizi.

Anak-anak termangu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.

“Aimin bawa adik ke belakang,” arahnya kepada anak yang sulung.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Laila turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang Papa mereka.

“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama nak siapkan minum petang. Lepas minum Papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila.

Mizi yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“Hah! Main air. Bil bulan ini Papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anak.

“Asal saya balik jer rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak buat? Makan tidur aje ke duduk kat rumah?” Kemarahannya bersambung bila Laila terpacul di belakang pintu.

“Anak-anak, Pa. Dia orang yang main tu. Tak apa nanti Mama kemas. Papa minumlah. Mama dah siapkan kat taman,” balas Laila lembut.

“Fail saya kat depan tu mana?”

“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”

“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengah hari tadi,” rungutnya, walaupun di hati kecil dia akui kebenaran kata-kata Laila.

Suasana sepi sekali. Dia menarik nafas berat. Suasana terasa jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah Laila. Dia mengeluh. Akhirnya dia terlena di sofa.

“Saya nak ke outstation minggu depan.”

“Lama?” Soal Laila.

“Dalam seminggu.”

“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut, boleh?”

“Budak-budak?“

“Ikut jugalah.”

“Tak ada! Tak ada! Susah nanti. Macam-macam dia orang buat kat sana nanti. Ingat tak masa kat hotel dulu tu?”

“Masa tu Amirul kecik lagi,” balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tidak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tidak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar waktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harga pinggan itu, malah pihak hotel pun tidak minta ganti rugi.

”Bolehlah, Pa! Lama sangat kita tak ke mana-mana.”

“Nak jalan sangat, Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” muktamad!

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isteri dihantar ke kampung. Laila tidak merungut. Mizi tahu Laila berkecil hati.

Anak-anak melompat riang sebaik sahaja kereta berhenti di perkarangan rumah datuk mereka. Tidak sampai setengah jam Mizi bergegas semula hendak pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama. “Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun Abah ambil dari masjid. Daripada mereka bakar saja, Abah ambilkanlah bagi kat kamu!”

“Manalah saya ada masa nak baca kitab.”

“Tak apa, pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!”


Dia tersentak dari khayalannya. “Kalau tak suka pulangkan balik!” Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Bapa mertuanya tahukah masalah yang melanda rumah tangganya? Bukan, bukan tidak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila tetap isterinya. Cuma..

“Mizi, makan!” ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu memanggil dari meja makan. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.”

“Papa! Makan!” Jerit Aiman, anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.

“Boleh tak panggil Papa elok-elok. Ingat Papa ni pekak ke?”

Aiman menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pelik! Kenapa Papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

“Awak masak apa?”

“Mama masak sup tulang dengan sambal udang …”

Mizi memotong cakap Laila, “Tak ada benda lain ke awak boleh masak? Dah, saya tak nak makan. Hilang selera!”

“Papa nak ke mana?” Soal Laila perlahan.

“Keluar!”

“Mama dah masak, Pa!”

“Awak saja makan!”

“Tak apa Mama, Aiman boleh habiskan!”

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya.

Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah Papanya keluar dari ruang makan. “Kenapa sekarang ni Papa selalu marah-marah, Ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.

“Papa banyak kerja agaknya. Dahlah, makan jer.”

“Along tak suka tengok Papa marah-marah.”

“Angah pun sama. Bila Papa marah muka dia macam gorilla, kan ?”

Kata-kata Aiman disambut dengan tawa oleh adik beradik yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris. Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak sudi. Kalau adapun salahnya, cakaplah apa dia.

Mizi menjenguk ke ruang dapur. Kosong. “Laila…” serunya.

“Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat lagi. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak. Bawalah beristighfar. Kalau terus macam ni, sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

“Sunyi pulak rumah ni, Mak,”

“Lama-lama kau biasalah.”

Airmatanya menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.


“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik sahaja dia pulang dari outstation.

“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”

“Tak ada?”

“Ingat Papa ni cop duit?”

Aiman termangu. Dia berlalu mencari Mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi Mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tetapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkan. “Awak tak sihat ke?”

Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.

“Papa, tak lama lagi Along akan dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Mizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

“Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan Aiman tertunduk ketakutan.
Lengan Aiman disentap kuat sehingga anak itu mula menangis. Pantas saja surat khabar di tangannya hinggap ke kepala anak itu. Laila cuba menghalang tetapi Mizi pantas dulu menolak Laila ke tepi. Aiman dipukul lagi. Aiman menangis. Aiman mendapatkan Mamanya.

“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukannya. Air mata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

“Cukuplah. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. ” Ujar Laila perlahan.



“Macam mana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada ke macam ni? Anak Kak Long tak pulak macam ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?” Omelnya menggila.

Bukan kepalang salah Aiman. Pada Mizi anak itu tidak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tidak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam sikit? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”

Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya membaca surat khabar dengan tenang. Malangnya tidak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.

“Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan surat khabar ke meja.

“Abang!”

“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.


Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tidak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tidak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tidak lagi mahu memanggilnya makan. Mizi rasa puas hati. Barangkali itu sahaja cara untuk mengajar anak-anak.

“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Mizi terpana. Dia mengangguk.

“Kak Long pun nak balik juga, Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Carilah pengganti.”

Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu yang serupa seperti Laila. Laila tidak ada yang kurang, cuma dia yang tidak pernah puas hati. Laila tidak pernah merungut. Laila tidak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan, Laila tidak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Baginya Laila cuma dapat gred B walaupun wanita lembut itu layak mendapat gred lebih baik dari A ... LAILA.

“Papa nak ke mana hensem-hensem gini?” Mizi tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang Laila yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi. Dating ye?”

“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

“Ikut boleh?”

“Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan di benaknya terfikir hal lain. Kali ini dia akan pergi ke jamuan itu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Lina, staff yang masih muda dan bujang.

“Dalam setahun Papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawa kami.”

“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam. Lari sana sini, panjat itu ini. “

“Papa pesanlah pada dia orang.”

“Nantilah bila besar sikit,” dalihnya.

“Kalau tunggu besar takut tak ada peluang. Nanti dia orang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”

“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak sangat buat hati panas, jer.”

Laila terdiam. “Dah nama pun budak-budak. Anak-anak Papa tu lelaki.”

“Saya pergi kejap jer. Lepas tu terus balik.”

“Mama tanya sikit boleh?”

Mizi mengangguk.

“Bos tak pelawa atau Papa yang rasa malu nak bawa Mama dan anak-anak?”

Hari itu Mizi tinggalkan mereka di rumah. Di jamuan tersebut ramai staff yang membawa keluarga bersama. Mizi mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Mizi mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal juga tetapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tidak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang mengata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak, apatah lagi tentang Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedangkan Laila cuma perempuan biasa-biasa. Tidak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anak kepada rakan sepejabat.

“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.

Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata kerana  Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya dilagakan sedangkan perebutan itu tidak disusuli dengan perkelahian pun.

“Kamu semua ni, kalau macam ni daripada ada, eloklah tak ada. Menyusahkan!”


Laila merenungnya dalam-dalam. Matanya berkaca. Pagi itu anak-anak ke sekolah tanpa bersalam seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar mereka ke sekolah. Mizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya sendirian.

Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tidak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan mereka juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini Laila tidak pernah lupa.

“Kalau tak suka pulangkan!” Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tidak pulang lagi selepas pagi itu. Hari-harinya tidak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetapi dia tidak dapat tidur lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anak bergumpal dan berlari mengejar bola tidak lagi kelihatan. Riuh anak-anak mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila… Benarlah, kita hanya tahu nilai sesuatu atau seseorang setelah kehilangannya. Laila terus tidak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan seorang pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi.

Mizi menangis semahu-mahunya. Hakikatnya, Laila adalah kitab lama yang sudah lapuk. Tetapi kitab lapuk itu nilainya tidak terbanding. Akibat egonya sendiri, LAILA TELAH DIPULANGKAN KEPADA PEMILIKNYA!!!


MEMBINA BAITI JANNATI 


Tugas surirumah bukan mudah. Terpaksa buat segala-gala demi kelancaran hidup suami dan anak-anak. Harus pikul tanggungjawab jadi doktor dan jururawat masa ahli keluarga sakit, jadi pemandu yang menghantar anak-anak ke sekolah, pengurus perbelanjaan harian, tukang masak, pengemas rumah, ustazah dalam madrasah rumah tangga dan sebagainya.

Amat tidak bagus kalau suami berlagak jadi pemerintah sahaja. Patut beri isteri masa dan ruang untuk buat apa yang dia suka…”Me Time”. Bersolat sunat, berzikir, membaca Al Quran, beriadah, apa-apa sahaja yang boleh  menghibur hati dan melegakan fikirannya, tanpa gangguan dari suami dan anak-anak. Untuk isteri taat kepada suami, suami kena usahakan supaya isteri taat kepada ALLAH dan Rasul terlebih dahulu. Jangan sibukkan dia dengan kerja rumah yang tidak pernah habis.     

Lelaki yang tidak bertanggungjawab mudah sangat suruh isteri buat itu ini. Tidak tolong apa-apapun, asyik goyang kaki di kedai mamak, sembang kencang dengan kawan-kawan. Bila balik, cuba buat lawak bodoh pasal hendak bernikah lain. Sudahlah sehari suntuk isteri melayan kerenah anak-anak dan bergelumang dengan keadaan rumah bagai tongkah pecah. Alih-alih bila balik, suami cakap pasal ingin tambah cawangan. Tentulah sakit hatinya.

Isteri juga manusia yang ada perasaan. Bukan hamba abdi. Hormatilah isteri  sepertimana suami mahu dirinya dihormati oleh isteri. Suami pandai cakap pasal poligami itu sunnah tapi perangai dan amalan langsung tidak ikut Sunnah. Yang diinginkan hanya menumpang rezeki isteri-isteri, tidak peduli tentang mencari nafkah untuk mereka. Itu bukan Sunnah tetapi punah namanya. 


Isteri adalah pinjaman terhebat dari ALLAH. Dialah penyeri hidup suami, sumber pahala buat suami, dan dari dia jugalah lahirnya anak yang soleh solehah. Apabila isteri berkhidmat untuk suami dan anak-anak, ALLAH kurniakan pahala. Itu pahala antara isteri dengan ALLAH.

Suami juga patut meraih pahala dari isteri pinjaman ALLAH dengan menempa kebahagiaan dalam rumahtangga. Kebahagiaan bukan sekadar tanggungjawab dan cinta sahaja. Ia melibatkan turun naik perasaan sepasang manusia. Perlu ada kerjasama dan toleransi dalam menangani perbezaan sikap dan sifat. Bila ada rasa saling menghormati akan keperluan masing-masing, barulah wujud kerukunan dalam hidup berumah tangga.

Keluarga adalah asas kehidupan. Rumahtangga yang sejahtera adalah salah satu syurga dunia. Sesiapa yang tidak berusaha mencapai syurga dunia, tidak akan mampu memperoleh syurga di akhirat. Justeru, amat penting bagi setiap pasangan berusaha untuk mewujudkan keluarga sejahtera, sebelum tiba kematian. 

Jangan lupa berdoa untuk isteri: 
“Ya Allah tolong jagakan isteriku, ampunilah dosa-dosanya, jauhkankan dia dari fitnah akhir zaman, kurniakan baginya syurga tanpa hisab”.


Comments

Popular posts from this blog

PERLUKAH BERI BANTUAN?

BENARKAH MEREKA YANG MENERIMA BANTUAN ITU MEMALUKAN DAN MENYUSAHKAN? Nabi S.A.W sebelum wafat berpesan: " Sesungguhnya mereka yang paling baik di kalanganku ialah mereka yang meminta haknya daripadaku atau menghalalkannya agar aku bertemu dengan Tuhanku dalam keadaan yang baik.." (Kitab Al A'adalah Fil Islam)  Sebagai pemimpin yang baik dan berkebajikan maka ingatlah bahawa... 1-Ada rakyat faqir miskin yang memerlukan bantuan, itulah ujian bagi mereka. ALLAH juga beri ujian kepada yang memegang kekayaan, adakah mereka amanah dengan harta yang ALLAH telah berikan. 2-Kadangkala rakyat yang hidup sederhana juga, walaupun mungkin tidak miskin, tetapi dalam keadaan tertentu turut memerlukan bantuan. Maka pemerintah kena bantu kebajikan mereka. 3-Ada rakyat yang asalnya kaya dan banyak duit, tapi kerana potongan cukai, insuran, hutang dan sebagainya terpaksa memerlukan bantuan. Maka pemerintah yang berkebajikan mestilah membantu Daripada hadis di atas, Nabi S.A.W. menyatakan ba...

KEMURUNGAN

  1. APA ITU KEMURUNGAN Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. 2. PENYEBAB/PUNCA KEMURUNGAN • Perubahan kimia dalam otak iaitu berlaku ketidakseimbangan kimia (Neurotransmitter Serotonin dan Neropinephine) • Baka keturunan : seseorang yang mempunyai keluarga yang pernah menghidapinya • Persekitaran : Peristiwa hidup dan kekurangan sokongan keluarga sosial • Ubat-ubatan : Sesetengah jenis ubat darah tinggi boleh mencetuskan episod kemurungan. Walau bagaimanapun, ia akan beransur hilang apabila ubat tersebut diberhentikan • Penyakit-penyakit lain : Seseorang penyakit lain seperti gangguan fungsi thyroid hypothyroidsm bol...

JANGAN BUAT 24 PERKARA INI

Ingat!! 1*Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan in tidak disukai oleh ALLAH s.w.t. 2*Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki(selipar).Dikhuatiri terbawa keluar najis dan mengotori seluruh rumah kita. 3*Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah @ sumbing. Makruh kerana ia membahayakan. 4*Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan. 5*Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat). 6*Jangan makan tanpa baca BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM dan doa makan.Nanti makanan yang dimakan adalah dari muntah syaitan. 7*Jangan keluar rumah tanpa niat membuat kebajikan @ kebaikan.Takut-takut mati dalam perjalanan. 8*Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan. 9*Jangan biar mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa. 10*Jangan bergaul bebas di tempat kerja. Banyak buruk dari baikn...