Skip to main content

MENDIDIK PEKERJA PILIHAN


SUN TZU, seorang panglima perang yang terkenal di Negeri China ratusan tahun dahulu. Pun begitu bukan semua orang yang kagum dengan kehebatan strategi peperangannya. 

Seorang daripadanya ialah Putera Mahkota China sendiri. Beliau tidak faham mengapa ayahandanya begitu taksub dengan Sun Tzu. Beliau memperlekehkan kebolehan panglima perang itu dengan sengaja mencabar dia supaya mendidik ratusan gundik istana  menjadi tentera dalam masa tiga hari. Sun Tzu menyahut cabaran itu dan menyatakan latihan tersebut hanya memerlukan separuh hari saja, tetapi dengan syarat putera tidak boleh langsung mencampuri urusannya. 

Ketika Maharaja China berangkat keluar kota ke satu tempat yang jauh, Putera Mahkota menunaikan janjinya pada Sun Tzu dengan memanggil beratus-ratus gundik istana beratur  di hadapan Sun Tzu dalam perkarangan istana.



Sun Tzu memulakan perintahnya ke atas para gundik. "Pada paluan gong yang pertama, kalian hendaklah berdiri tegak dan lurus. Pada paluan kedua, kalian mesti membuka kaki dan berdiri dalam keadaan bersedia. Pada paluan ketiga, kalian hendaklah berpaling ke arah kiri.” 

Sebahagian besar gundik mematuhi arahan yang diberikan, tetapi ada di kalangan mereka yang rapat dengan Putera Mahkota sengaja buat lambat-lambat sambil ketawa main-main. Melihatkan keadaan itu sekali lagi Sun Tzu mengeluarkan perintah. “Aku telah diberi kuasa penuh oleh Putera Mahkota untuk melatih kamu menjadi tentera. Kini aku bagi kamu peluang kedua. Mungkin tadi kamu tidak faham apa yang aku arahkan. Ingat, pada paluan pertama, berdiri lurus. Paluan kedua, bersedia. Paluan ketiga, paling ke arah kiri. Kali ini sesiapa yang tidak mengikut arahan aku akan hukum”.


Latihan diulang buat kali kedua. Namun masih ada dua tiga orang gundik yang akrab dengan Putera Mahkota yang enggan mematuhi perintah. Lalu Sun Tzu memerintahkan pembantunya membawa mereka ke hadapan untuk menjalani hukuman pancung. Putera Mahkota membantah tetapi Sun Tzu mengingatkan baginda pada janjinya tidak akan campur tangan dalam urusan latihan. Maka gundik-gundik yang degil itu pun dipancung. Lalu gentarlah gundik-gundik yang lain. Latihan diulang buat kali ketiga. Pada kali ini semuanya patuh pada perintah. Lalu Sun Tzu berkata kepada Putera Mahkota, “Tuan Putera, semua gundik istana telah bersedia menjadi tentera dan sanggup berjuang dengan nyawa mereka.”


Kejituan strategi Sun Tzu sangat dikagumi sehingga hari ini di mana bukunya “Sun Tzu’s The Art of War” menjadi bahan rujukan dalam alam korporat di seluruh dunia. Tiga perkara yang ditunjukkan Sun Tzu ini digunakan dalam alam perniagaan. Pertama, arahan yang diberikan kepada pekerja mesti JELAS DAN DIFAHAMI. Kedua, jika mereka melakukan kesilapan, BERI PELUANG KEDUA UNTUK MEMPERBETULKAN. Ketiga, jika arahan diingkari dengan sengaja, HUKUM mereka dengan PEMECATAN dan gantikan tempat mereka dengan pekerja baru. Itulah CARA untuk memastikan PEKERJA TAAT kepada majikan. 

Dalam konteks Islam, ajaran yang Nabi s.a.w. turunkan adalah jelas. Jika ada yang terkhilaf, mereka diberi peluang untuk diajar sekali lagi. Jika masih ingkar, hukuman dijatuhkan untuk menjadi iktibar kepada yang lain. Hubungan majikan-pekerja adalah satu pertalian personal dan profesional, suatu hubungan yang memerlukan sentuhan kemanusiaan, saling menyayangi dan sama-sama bahu membahu demi mencapai kejayaan. 

Majikan memerlukan pekerja yang KUAT jasmani dan rohani serta AMANAH. Di samping itu majikan juga perlu menunaikan hak-hak pekerja. Sabda Nabi s.a.w.: “Berikanlah UPAH kepada pengambil upah (orang yang bekerja) sebelum kering peluh mereka”. (Hadis Riwayat Ibn Majah). Hadis ini melarang majikan mengambil kesempatan ke atas pekerja dengan melambat-lambatkan, menangguhkan atau menahan gaji. Pekerja juga manusia yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Tidak wajar majikan menganiayai pekerja sendiri. ALLAH tidak akan membiarkan penganiayaan berlaku. Nabi s.a.w. pernah mengingatkan bahawa ada sesetengah keadaan di mana rezeki seseorang itu ditahan akibat dia menzalimi orang lain.

Majikan boleh bersikap BAIK kepada pekerja dengan melebihkan sedikit pemberian bonus, atau sekali-sekala belanja mereka makan. Bersedekah dengan belanja makan kepada orang lain mampu membawa kebaikan berganda. Majikan harus bersikap TEGAS supaya tidak dianggap lemah dan diambil kesempatan oleh pekerja. Namun dilarang berlaku KERAS kerana ini akan menyebabkan pekerja bertambah degil.

Islam tidak pernah menafikan kemanusiaan. Pekerja mungkin membuat kesilapan yang jarang dilakukannya. Majikan wajar memaafkan dia, kecuali jika dilakukan berulang-ulang. Pekerja harus mengubah sikap itu atau berdepan hakikat dibuang kerja. Ada juga pekerja yang tidak dapat berkhidmat dengan baik disebabkan masalah keluarga di rumah. Majikan patut bertanya khabar dan menunjukkan sifat kemanusiaan. Sesungguhnya Allah sukakan hamba-NYA yang lembut dan berbelas kasihan. 

Majikan patut berdoa supaya ALLAH mengurniakan kepadanya pekerja yang amanah, soleh dan solehah, serta mendoakan kebaikan buat mereka. Patut diingat bahawa setiap doa ke atas orang lain akan turut didoakan kebaikan yang sama oleh malaikat.

CERITERA REZEKI AYAM



AMAN: 
"Pak Mail, berilah saya bekas biji jagung dan dedak tu. Biar saya tolong taburkan untuk ayam-ayam ni makan. Seronok saya menengoknya, cepat membiak, sampai berpuluh-puluh ekor."

PAK MAIL:
"Menternak ni kena rajin. Jaga makannya, jaga minumnya dan jaga kesihatannya. Kurr...kurr.. Jalak, Komeng ... meh makan sayamg."

AMAN: 
"Amboi, Si Jalak dan Komeng dapat makanan special. siap makan di tangan pulak. Pak Mail beri makan apa tu?"

PAK MAIL:
"Biji jagung, biji gandum, barli dengan dedak. Jalak dan Komeng memang rapat dan manja dengan Pak Mail. Sebab tu dapat makanan special. Macam kita juga. Kalau kita bertaqwa dan akrab dengan ALLAH, rezeki yang ALLAH kurniakan kat kita pun special. "  

Comments

Popular posts from this blog

9 WASIAT ALLAH DALAM AL HUJURAT

9 wasiat ALLAH dalam Surah Al-Hujurat tentang interaksi sesama manusia..  Wasiat 1: “فَتَبَيَّنُوٓاْ”  Selidik suatu khabar yang sampai padamu, biar betul dan jelas.. Wasiat 2: “فَأَصۡلِحُواْ ”  Damaikan saudara yang bersengketa. Jangan jadi batu api atau melaga-lagakan.. Wasiat 3: “وَأَقۡسِطُوٓاْ‌ۖ”    Berlaku adil. Jangan pilih bulu, tak kira siapa.. Wasiat 4: “لَا يَسۡخَرۡ”  Jangan mencemuh/merendahkan orang lain. Jangan mudah mengeji dan menghina orang.. Wasiat 5: “وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ”   Jangan mengaibkan. Jangan buka aib orang.. Wasiat 6: “وَلَا تَنَابَزُواْ”   Jangan melabel. Jangan cepat nak melabel orang atau kumpulan, perkara yang belum jelas.. Wasiat 7: “ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ” Jauhi dari banyak berprasangka buruk. Jangan cepat percaya sesuatu perkara, siasat dahulu.. Wasiat 8: “وَلَا تَجَسَّسُواْ”  Jangan mencari-cari kesalahan orang lain. Biar ALLAH menentukan.. Wasiat 9: “وَلَا يَغۡتَب”  Jangan mengumpat. ...

BANGKITLAH!

Dalam menjalani kehidupan jangan terlalu meletak harapan kepada manusia, kerana harapan itu akan berhujung dengan kesedihan dan kekecewaan. Tetapi bergantung haraplah kepada ALLAH. Dengan DIA, kita tidak akan rasa sakit, kecewa, sedih dan seumpamanya. ALLAH Maha Mengetahui setiap perlakuan hamba-Nya. Seperti firman ALLAH dalam surah Al Insyirah ayat 8 : وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَب "Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." Allah datangkan ujian supaya kita jadi kuat dan bijak menangani permasalahan. Allah tangguhkan sesuatu supaya kita bersabar menanti ketibaannya. Allah hilangkan sesuatu supaya kita redha dengan ketentuan-Nya. Dalam hidup ini percayalah, tidak ada orang yang tidak pernah terjatuh, bukan sekali malah berkali-kali. Pun begitu jangan biarkan diri berada dalam keadaan terjelepuk di bawah seperti itu terlalu lama. Bingkaslah dan bangkitlah, setiap kali kita terjatuh. Ada pengajaran dan pengalaman berharga yang kita perolehi d...

SUSAH KE NAK DAPAT RM1 PERTAMA?

“Susah ke nak buat sales RM1juta…?” Tak susah pun. Meyh saya ajar PERCUMA!. Penting ke capai sales RM1juta ni? Penting. Mula-mula kita belajar dulu capai Sales RM1juta. Lepas tu kita belajar buat untung/profit RM1juta. Lepas tu kita belajar buat simpanan RM1juta. Lepas tu kita belajar buat pelaburan RM1juta. Lepas tu kita belajar infaq RM1juta. Lamsam aa RM1juta tu. Bukan terkumpul RM1juta. Sepanjang perjalanan tuu memang kita kena infaq dan sedekah jugak oke. NEXT! Macam mana nak capai jualan RM1juta tu? Kita bahagikan dengan 2 bahagian. Bahagian 1: LOGICAL Bahagian 2: SPIRITUAL (Pembahagian ni saya dapat dari Mat Saleh yang saya sesuaikan dengan keadaan masyarakat Malaysia.) Kalau kita pergi belajar mana-mana kelas pun. Balik-balik dia akan sebut apa yang saya akan sebut nanti di bawah. So, sila bersedia. Perjalanan masih jauh ni. Kata nak capai RM1juta. HAHA. OKE. Sebelum tu lagi, orang akan tertanya. “Siapa Malik ni nak ajar orang cara capai RM1juta. Dia dah capai ke?” “Kalau dah p...