Skip to main content

RABIATUL ADAWIYAH

"AKU mencintai Tuhan bukan kerana takut akan neraka, dan bukan juga kerana inginkan syurga. Aku mencintai-NYA hanya kerana diri-NYA semata.” (Rabi’atul Adawiyah)

SERBA SEDIKIT TENTANG TASSWWUF / SUFI

Munculnya Tasawwuf dalam Islam disandarkan dengan kelahiran agama Islam itu sendiri, iaitu semenjak Nabi Muhammad SAW diutus menjadi Rasul seluruh alam semesta. Sejarah menceritakan bagaimana peribadi Baginda sebelum diangkat menjadi Rasul telah berulangkali melakukan Tahannuts dan Khalwat di Gua Hira, iaitu mengasingkan diri dari kehidupan keduniaan. 

Baginda juga berusaha mencari jalan untuk membersihkan hati dan menyucikan jiwanya dari dosa yang menyelubungi masyarakat Arab Jahiliyah di sekitarnya pada waktu itu. Inilah asal usul penamaan Tasawwuf / Sufi.

Proses Tazkiyyatun Nafs. adalah  pembersihan hati dan penyucian jiwa dari dosa noda dengan mengasingkan diri daripada dunia dan makhluk. Hanya menyerahkan sepenuh hati, setiap hembusan nafas dan kerdipan mata pada Rabbul ‘Alamin, Tuhan sekalian alam.

Ahli Sufi berusaha mendekatkan, menyucikan diri serta meninggikan cinta kepada ALLAH S.W.T. Kembara rohani golongan Sufi jauh berbeza dari pengalaman religius orang awam, kerana mereka dapat mencapai darjat ma’rifah mengenal ALLAH S.W.T.

Golongan Sufi melalui maqamat (peringkat) berbeza untuk mencapai tingkatan pengalaman religius tertinggi itu, tidak hanya dialami oleh kaum lelaki sahaja, tetapi juga kaum wanita, salah seorangnya adalah Rabi’atul Adawiyah.

RABIATUL ADAWIYAH

Nama sebenarnya Umm Al-khair binti Ismail al-Adawiyah tergolong dalam senarai wanita sufi terkenal dalam sejarah Islam. Dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah, iaitu pada tahun 99H/ 717 M berhampiran kota Basrah di Iraq dan meninggal dunia di kota itu juga pada tahun 185H/ 801M.

Gelaran Rabi’atul Adawiyah... Rabia’tul bermaksud Yang Keempat kerana beliau adalah anak yang keempat dalam adik beradiknya. Adawiyah pula bermaksud Penawar atau Ubat. Dia lahir dalam sebuah keluarga miskin dari segi kebendaan, namun kaya dengan ibadah kepada ALLAH S.W.T.

Ketika kecil, Rabiah sering dibawa beribadat dan bermunajat oleh bapanya di masjid berdekatan pinggiran Kota Basrah. Tidak banyak catatan tentang keluarga Rabiatul Adawiyah. Antara yang tercatat dalam kitab-kitab ialah Rabiatul Adawiyah telah dididik oleh bapanya untuk menjadi muslimah yang berjiwa bersih bersumberkan Al-Quran. Hasilnya, Rabiatul Adawiyah berjaya menghafal al-Quran dan menghayati isi kandungannya pada usia 10 tahun. Sejak kecil lagi, Rabiah memang berjiwa halus serta mempunyai keyakinan yang tinggi dan keimanan yang mendalam.

Namun, menjelang dewasa, hidupnya menjadi sempit dan susah. Keadaan semakin buruk setelah ibu bapanya meninggal dunia, dan ditinggalkan pula oleh adik beradiknya yang lain. Rabiah menerima ujian ALLAH S.W.T untuk membuktikan keteguhan imannya. Ada riwayat yang mengatakan dia telah terjebak dalam kancah maksiat. Kerana kesempitan hidup dan kehilangan keluarga tercinta, dia telah diajak ke Istana untuk menjadi Penghibur Raja dengan ganjaran wang yang mewah. Dia menjadi penghibur Raja hingga sekian waktu. Kehidupan yang bergelumang dengan maksiat dan dosa. 

Namun dengan limpah hidayah ALLAH serta asas keimanan yang belum terpadam di hati, dia  dipermudahkan oleh ALLAH untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat Rabiatul Adawiyah inilah yang sangat berguna buat kita semua untuk ambil iktibar dan pengajaran.

KESUFIAN RABIATUL ADAWIYAH

Rabiatul Adawiyah merupakan orang pertama yang mengalunkan irama cinta Ilahi. Hal ini kerana generasi sebelumnya merintis aliran Islam berdasarkan rasa takut (Khauf) dan pengharapan (Raja’) kepada ALLAH seperti yang diajarkan oleh gurunya Imam Hasan al-Basri.

Manakala Rabiatul Adawiyah pula mempelopori rasa tulus ikhlas serta cinta (Hubb) kepada ALLAH S.W.T. Sikap dan pandangan Rabiatul Adawiyah tentang cinta dapat difahami dari kata-katanya, baik yang langsung mahupun yang disandarkan kepadanya. Beliau memperkayakan penulisan Islam dengan kisah-kisah pengalaman sufinya dalam sajak-sajak yang tinggi nilai bahasanya.

KONSEP MAHABBAH RABIATUL ADAWIYAH
  • Pertama, memeluk kepatuhan kepada ALLAH dan membenci sikap melawan atau melanggar arahan-NYA.
  • Kedua, menyerahkan seluruh diri hanya kepada Ilahi yang dikasihi.
  • Ketiga, mengosongkan hati dari segala-galanya kecuali Ilahi yang dikasihi.
Abu Nashr as-Sarraj at-Thusi mengatakan, cinta para sufi dan ma’rifat itu timbul dari pandangan dan pengetahuan mereka tentang cinta abadi tanpa mengharap balasan daripada ALLAH S.W.T. Cinta itu timbul tanpa ada maksud dan tujuan apa pun. Konsep Mahabbah ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan apa yang diajarkan oleh Hasan al-Basri, Konsep Khauf (takut) dan Raja’ (pengharapan).

Cinta Rabiatul Adawiyah kepada ALLAH sebegitu kuat membelenggu sehingga hatinya tidak mampu  berpaling kepada selain ALLAH. Pernah suatu ketika Rabiah ditanya, “Apakah Rabiah tidak mencintai Rasul?” Dia menjawab, “Ya, aku sangat mencintainya, tetapi cintaku kepada Pencipta membuat aku mengutamakan cinta-NYA daripada makhluk.”

ALLAH adalah teman sekaligus Kekasih buat Rabiatul Adawiyah, sehingga ke mana saja Rabiah pergi, hanya ALLAH sahaja yang ada dalam hatinya. Disebabkan kecintaannya kepada ALLAH S.W.T terlalu mendalam, Rabiah merelakan dirinya menjadi ‘gadis abadi’. Dia tidak mahu bernikah bukan kerana tidak ada yang meminangnya, tetapi dia memilih ‘kegadisan abadi’ kerana tidak tertarik dengan kenikmatan hidup duniawi. Ketika Rabiah ditanya: “Kenapa kau tidak bernikah, wahai Rabi’ah?”
Dia menjawab: “Tidak ada tempat di hatiku kecuali untuk Kekasih Sejati.”

Rabiatul Adawiyah menyembah Tuhan dengan penuh cinta dan kerinduan yang sukar untuk diluahkan melalui pena, diungkapkan melalui kata-kata. Pada pandangannya, cinta pada Pencipta adalah kehidupan spiritual, cinta azali dan abadi berasal daripada ALLAH dan untuk ALLAH S.W.T.

SIFAT RABIATUL ADAWIYAH YANG PATUT DICONTOHI


1) Melazimi Taubat
Sewaktu di istana, Rabiah menjadi penghibur yang digemari raja. Hidup bergelumang dengan dosa dan dikaburi dengan kekayaan harta duniawi. Namun dengan limpah hidayah ALLAH, dia mulai insaf dan kembali mengingati ALLAH. Di kesunyian malam, Rabiah bermunajat setulus hati kepada ALLAH S.W.T:

“Ya ALLAH, Ya Tuhanku, aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-MU, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!

Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-MU. Sekalian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan hiburannya. Yang tinggal hanya Rabiah yang banyak kesalahan di hadapan-MU.
Maka semoga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-MU.”

2) Bersyukur
Setelah Rabiatul Adawiyah dibebaskan oleh Raja, dia membuktikan kesyukurannya dengan meningkatkan amalan kerohaniannya. Dia dipimpin oleh seorang guru mursyid bernama Hassan al-Basri dan akhirnya Rabiatul Adawiyah telah beriktikad untuk menghambakan diri sepenuh masa terhadap penciptanya.

3) Zuhud
Rabiatul Adawiyah menghabiskan sisa hidupnya dengan mendiami sebuah pondok kecil dan tidur berbantalkan serpihan tembikar dan berselimutkan tikar lusuh. Tiada sekelumit pun rasa keduniaan yang membenam dalam hatinya.

Suatu hari, seorang pencuri telah menyelinap masuk ke pondok Rabiatul Adawiyah. Dia dapati tiada apa-apa barang berharga. Sebelum keluar, Rabiatul muncul dan menyuruh pencuri itu mengambil bekas air milik beliau untuk berwuduk. Kemudian pencuri itu menunaikan solat dua rakaat. Ternyata pencuri tersebut merasakan suatu kemanisan dan kelazatan dalam jiwanya yang tidak pernah dirasa sebelum ini. 

Rabiatul Adawiyah lantas berdoa : “Ya ALLAH, pencuri ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri di hadapan-MU. Oleh itu janganlah Engkau halang dia daripada memperolehi nikmat dan rahmat-MU.”

4) Cinta Allah

Kecintaan Rabiatul Adawiyah kepada ALLAH sering diluahkan dalam kuntuman syair-syairnya, “Aku mencintai-MU dengan dua cinta, cinta kerana diriku dan cinta kerana diri-MU. Cinta kerana diriku, adalah keadaan sentiasa mengingat-MU. Cinta kerana diri-MU adalah keadaan-MU mengungkapkan tabir, hingga Engkau kulihat, baik untuk ini mahupun untuk itu. Pujian bukanlah bagiku, bagi-MU pujian untuk semua itu.”

Ada petikan syair yang mengatakan betapa pasrah hatinya akan Tuhan, “Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun. Tiada selain DIA dalam hatiku mempunyai tempat manapun, Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun, Akan tetapi DIA tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Pernah sekali Rabiatul Adawiyah berdoa, “Jika aku menyembah-MU kerana takut daripada api neraka-MU maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-MU kerana tamak kepada syurga-MU maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-MU kerana kecintaanku kepada-MU maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-MU yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”

5) Berserah Diri Hanya Kepada Allah
Menjelang akhir hayatnya, ramai sekali orang-orang alim dan soleh duduk mengelilinginya. Rabiatul Adawiyah meminta kepada mereka, “Bangkit dan keluarlah; berikan jalan kepada pesuruh-pesuruh ALLAH Yang Maha Agung!” 

Maka, semua orang bangkit dan keluar, dan pada saat mereka menutup pintu, mereka mendengar suara Rabiah mengucapkan kalimah syahadah dan mereka mendengar alunan suara membaca Al-Quran.



“… Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-NYA. Maka masuklah bersama golongan hamba-hamba-KU dan masuklah ke dalam Syurga-KU.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Rabiatul Adawiyah adalah ikon bagi Muslimah yang meletakkan kecintaan hanya kepada ALLAH S.W.T. Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Namun pengajaran yang besar dari kisah Rabiatul Adawiyah adalah keikhlasan taubat kita kepada Allah S.W.T.

(Petikan daripada Fathyakan)

Comments

Popular posts from this blog

POHON SA'DAN

POHON Sa'dan yang bagaikan Sirat.  Membuat hilang semua nafsu dunia! Wahai diri,  Lebih baik kau diuji di dunia sebagai pembersih diri. Lebih baik kau disakiti di dunia agar terangkat darjatmu.  Lebih baik kau lelah di dunia agar bisa beristirahat kelak di akhirat.  Ingatlah bahwa waktu yang sekejap mata di dunia ini akan menentukan tempatmu yang abadi di akhirat. "Kemudian didatangkan jambatan lalu dibentangkan di atas permukaan neraka Jahannam. Kami (para Sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana (bentuk) jambatan itu?”.  Jawab baginda, “Licin (lagi) menggelincirkan. Di atasnya terdapat besi-besi pengait dan kawat berduri yang hujungnya bengkok, ia bagaikan pohon berduri di Nejd, dikenal dengan pohon Sa'dan..." (Muttafaqun ‘alaih). "Dan dibentangkanlah jambatan Jahannam. Akulah orang pertama yang melewatinya. Doa para rasul pada saat itu: “Ya Allah, selamatkanlah, selamatkanlah”.  Pada Sirat itu, terdapat pengait-pengait seperti duri pohon Sa’dan. P...

HIJAB dan JILBAB

PEMAKAIAN hijab yang huru hara dengan rupa bentuk yang menyanggah norm, adalah talbis iblis.... Tipu daya iblis.... Hijabista ultra tabarruj.... Hijabista menjadi permainan wanita masa kini. Sesuatu yang suci dan lambang taqwa berubah menjadi bahan lawak atas nama "minda terbuka!" Astaghfirullah..... Astaghfirullah.... Hijab milik umat, milik ALLAH. Kini muslimah kita diperbodohkan. "Dan jauhkanlah diri dari orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka telah diperdayakan oleh kehidupan dunia." (Q6:70). Mana tudung taqwa, mana tudung nafsu? Jika pemakai tudung berdegil dan kata, “Biarlah, asalkan tutup aurat”, dia harus terima kata-kata “Biar bodoh, asalkan tutup aurat”.... Fesyen bukan kebodohn. Fesyen adalah seni. Dan ALLAH sukakan keindahan seni. Tetapi bukan semua kesenian seni... Jangan hina fesyen dan seni! Jika tudung itu iman dan iman itu Quran, bilakah kali terakhir Quran dibuka untuk menilai cara diri berpakaian? Jilbab dan h...

KEKAYAAN SEJATI

ADA seorang miskin bertanya pada Sang Guru Bijak, "Mengapa saya jadi orang yang sangat miskin dan selalu mengalami kesulitan hidup?" Sang Guru menjawab, "Kerana kau tidak pernah berusaha untuk memberi pada orang lain". "Tapi saya tidak punya apapun untuk diberikan pada orang lain." Kata Sang Guru Bijak, "Sebenarnya kau punya banyak untuk diberikan pada orang lain". "Apakah itu, guru?" Sang Guru menjawab: 1. Dengan Mulut yang kau punya, kau boleh berikan senyuman dan pujian. 2. Dengan Mata yang kau punya, engkau boleh memberi tatapan yang lembut. 3. Dengan Telinga yang kau punya, kau bolej beri perhatian untuk mendengar keluh kesah orang di sekelilingmu. 4. Dengan Wajah yang kau punya, kau boleh beri keramahan. 5. Dengan Tangan yang kau punya, kau boleh beri bantuan dan pertolongan pada orang lain dan banyak lagi. Jadi sesungguhnya kau bukanlah miskin, hanya saja kau tidak pernah mahu memberi pada orang lain. Itulah yang menyebabkan oran...