Skip to main content

DOA ORANG YANG DIZALIMI


 

SEORANG nelayan miskin menanggung keluarga dengan hasil tangkapan ikan. Malangnya tangkapan ikan kurang memuaskan. 

Dia menebarkan jala di tepian pantai dengan harapan akan ada ikan yang tersangkut. Beberapa kali dicuba, tetapi tiada rezeki buatnya. Begitulah keadaannya selama beberapa hari. Pun begitu dia tidak berputus asa. Berbekalkan kesabaran, dia bertekad untuk berusaha lebih gigih lagi.

Pada suatu hari, ALLAH mentakdirkan seekor ikan besar terperangkap dalam jalanya. Alangkah gembira hatinya melihat ikan besar itu. Sambil menarik ikan tersebut, dia membayangkan apa yang hendak dilakukan dengan ikan itu. 

"Akan aku beri keluargaku makan hingga kenyang. Kepada jiran pun akan aku sedekahkan sedikit. Selebihnya barulah aku jualkan." 

Ketika itu seorang raja dengan askarnya lalu berhampiran tempat tersebut. Raja itu sangat tertarik melihat ikan besar yang baru diperolehi nelayan, lantas, disuruhnya pengawalnya mendapatkan ikan tersebut dari nelayan. Sudah tentu nelayan itu sangat keberatan. Setelah merasakan bahawa dia tidak dapat mempertahankan ikannya itu dari diambil oleh raja, dia pun meminta harga sebagai bayaran. Dengan angkuh pengawal itu merampasnya dan mengatakan raja tidak membayar harga ke atas apa sahaja yang dikehendakinya. Maka, ikan itupun dibawa pergi... 

Tergenang air mata sang nelayan daif. Dia tidak mampu berbuat apa-apa bila haknya dirampas. Kepada siapa hendak dia mengadu? Hanya kepada ALLAH Tuhan Yang Satu. Dia menadahkan tangan dan berdoa.



Sementara itu, hati raja cukup senang mendapat ikan tersebut. Diperintahkan tukang masak istana segera memasaknya. Ikan sebesar itu hanya dia seorang sahaja yang makan.

Malangnya, beberapa hari setelah makan ikan itu, raja telah dijangkiti satu penyakit aneh. Penyakit itu pada mulanya hanya berupa bengkak pada ibu jarinya. Bengkak itu disertai dengan sakit yang sangat mengganggu keselesaannya. Lama kelamaan mula bernanah. Tabib istana dipanggil. Selepas memeriksanya, tabib menasihatkan supaya ibu jari kaki raja itu dipotong. Raja enggan menerima nasihat tabib istana dan disuruh carikan ubat untuk sakitnya. Namun ubat tidak ditemui juga walau bermacam ikhtiar sudah diusahakan. 

Beberapa hari kemudian, tabib istana yang merawatnya memberitahu bahawa penyakit itu telah merebak hingga ke buku lali. Kakinya hendaklah dipotong supaya penyakit tidak merebak lebih jauh lagi. Raja masih enggan menenerima nasihat tersebut kerana dia sayangkan kakinya. Dia memerintahkan agar dicari tabib lain yang lebih handal. 

Seorang tabib dari luar di bawa ke istana. Setelah melihat penyakit di kaki raja, dia pun memberitahu bahawa penyakit di kaki raja itu telah merebak hingga ke betis. Kalau tidak dipotong betis, ia akan merebak lebih teruk lagi. Mahu tidak mahu, maka akurlah sang raja. Lantas betisnya itu pun dipotonglah.

Raja sangat sedih atas kehilangan betisnya. Namun, kesedihannya tidak tamat di situ. Dalam keadaan sugul kerana kehilangan kaki, tiba-tiba negerinya dilanda gempa. Harta benda dan jiwa banyak yang musnah. Keadaan ini membuatkan raja sangat hairan. Lalu, raja memanggil seorang ulama dan bertanyakan maksud di sebalik semua musibah yang menimpanya itu.

"Tuanku telah menzalimi seseorang", ulama itu membuat rumusan.

" Seingat beta, tidak pernah beta zalimi sesiapa", ujar raja.

" Cuba Tuanku ingat betul-betul, pernahkah tuanku zalimi seseorang?" ulama itu tetap dengan rumusannya.

Ketika mengimbau kembali apa yang telah dilakukannya, raja pun teringat perihal ikan yang dirampasnya dari seorang nelayan. Ketika merampas ikan itu, dia tidak merasakan itu satu kezaliman. Apalah harganya seekor ikan..

" Perkara kecil di mata tuanku amat besar di mata nelayan itu", ulama itu mengingatkan.

Raja itu memerintahkan agar nelayan itu dicari dan dibawa mengadapnya.

" Apa yang telah kamu lakukan setelah ikan kamu beta rampas?" 

" Saya tidak lakukan apa-apa", jawab nelayan ketakutan.

" Ceritakan terus terang, kamu tidak akan beta apa-apakan", raja memujuk dan menenangkan nelayan yang ketakutan itu.

Akhirnya nelayan itu pun berkata, "Setelah ikan itu tuanku rampas, saya hanya mampu berdoa..." 

"Apa doamu?"  

Nelayan pun berkata: "Aku hadapkan wajahku kepada-MU, Ya ALLAH. Sesungguhnya dia telah memperlihatkan kuasanya ke atasku... Maka tunjukkanlah Kuasa-MU ke atasnya”.


Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah mengutus Mu’adz ke Yaman dan Beliau berkata kepadanya:
“Takutlah kamu akan doa seorang yang terzalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan ALLAH”.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Janganlah berbuat zalim saat berkuasa. Kezaliman itu akan membawa penyesalan. Kamu boleh lelapkan mata tetapi yang dizalimi sentiasa berjaga. Dia berdoa ke atasmu dan mata ALLAH tidak pernah lena.

Petikkan Dari Ustaz Ahmad Nasir

Comments

Popular posts from this blog

9 WASIAT ALLAH DALAM AL HUJURAT

9 wasiat ALLAH dalam Surah Al-Hujurat tentang interaksi sesama manusia..  Wasiat 1: “فَتَبَيَّنُوٓاْ”  Selidik suatu khabar yang sampai padamu, biar betul dan jelas.. Wasiat 2: “فَأَصۡلِحُواْ ”  Damaikan saudara yang bersengketa. Jangan jadi batu api atau melaga-lagakan.. Wasiat 3: “وَأَقۡسِطُوٓاْ‌ۖ”    Berlaku adil. Jangan pilih bulu, tak kira siapa.. Wasiat 4: “لَا يَسۡخَرۡ”  Jangan mencemuh/merendahkan orang lain. Jangan mudah mengeji dan menghina orang.. Wasiat 5: “وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ”   Jangan mengaibkan. Jangan buka aib orang.. Wasiat 6: “وَلَا تَنَابَزُواْ”   Jangan melabel. Jangan cepat nak melabel orang atau kumpulan, perkara yang belum jelas.. Wasiat 7: “ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ” Jauhi dari banyak berprasangka buruk. Jangan cepat percaya sesuatu perkara, siasat dahulu.. Wasiat 8: “وَلَا تَجَسَّسُواْ”  Jangan mencari-cari kesalahan orang lain. Biar ALLAH menentukan.. Wasiat 9: “وَلَا يَغۡتَب”  Jangan mengumpat. ...

BERGANTUNG HARAPAN HANYA PADA ALLAH

PESANAN Syeikh Abdul Qadir Al Jailani: "Jika Engkau masih merasa takut dan berharap pada manusia, maka Dia menjadi tuhanmu. Jika Engkau masih menghadapkan hatimu pada harta dunia, maka Engkau adalah budaknya dan Ia menjadi tuhanmu. Tak ada cinta yang paling abadi, kecuali cinta seorang hamba kepada ALLAH yang Pencinta dan tak akan meninggalkan kekasihnya, baik saat suka mahupun saat derita". "Wahai orang yang cenderung mengadukan musibahnya kepada makhluk, tanyalah dirimu, apakah pengaduanmu kepada makhluk berguna bagimu? Sesungguhnya semua makhluk yang engkau adukan segala masalahmu, tidak ada daya untuk menolongmu, tidaklah ada gunanya bagimu tidak juga bisa membahayakanmu tanpa keizinan dari Penciptamu. Jika engkau mengharap dan bergantung kepada makhluk, jangan sampai menyekutukan Allah. Niscaya mereka akan menjauhkan dirimu dari jalan AL HAQ,  iaitu jalan menuju keredhaan ALLAH.  Sebaliknya mereka akan menjurumuskanmu ke dalam murka ALLAH dan menghalangimu dari cura...

JANGAN BUAT 24 PERKARA INI

Ingat!! 1*Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan in tidak disukai oleh ALLAH s.w.t. 2*Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki(selipar).Dikhuatiri terbawa keluar najis dan mengotori seluruh rumah kita. 3*Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah @ sumbing. Makruh kerana ia membahayakan. 4*Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan. 5*Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat). 6*Jangan makan tanpa baca BISMILLAHHIRRAHMANNIRAHIM dan doa makan.Nanti makanan yang dimakan adalah dari muntah syaitan. 7*Jangan keluar rumah tanpa niat membuat kebajikan @ kebaikan.Takut-takut mati dalam perjalanan. 8*Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan. 9*Jangan biar mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa. 10*Jangan bergaul bebas di tempat kerja. Banyak buruk dari baikn...