Skip to main content

TAZKIRAH MENJELANG SENJA JUMAAT YANG BARAKAH



HATI ibarat gelas. Jika tidak diisi air jernih, ia akan diisi dengan kopi, teh, susu dan apa-apa minuman lain. Kalau pun gelas kelihatan kosong, ia tetap terisi dengan debu dan udara.

Hati yang tidak diisi dengan IMAN, KEBAIKAN, dan PENGABDIAN kepada Allah, akan terisi dengan DUNIA yang memperdaya dan melalaikan manusia. 

Jika hendak mendekatkan diri kepada ALLAH, BERSIHKANlah HATI kerana hati itulah yang akan dibawa mengadap ALLAH nanti. Andai kita mencari keredhaan ALLAH dengan hati yang kelam, sukar untuk ditemui walaupun bersendirian di tengah malam. Andai kita memburu-NYA dengan hati yang bersih, mudah kita menemukannya meskipun di tengah hiruk dan pikuk.

Bermohonlah supaya ALLAH mengurniakan kepada kita hati jernih yang mampu membezakan antara kebaikan dan  kebatilan, dan mempunyai kesabaran tinggi dalam menjalani ketetapan Tuhan.
Setiap daripada kita hanya orang biasa di mata orang yang tidak mengenali kita. 
Setiap kita adalah orang baik di mata orang yang kenal dan fahami kita.
Setiap kita adalah orang hebat di mata orang yang mencintai dan menyayangi kita.
Kita adalah orang buruk dan jahat di mata orang yang dengki dan berdendam pada kita.
Setiap manusia memiliki pandangan yang berbeza ke atas orang lain.
Cukuplah redha Allah yang kita cari. Redha manusia adalah tujuan yang tidak pasti.


Kita mempunyai  rangkaian rakan yang bertingkat-tingkat - rakan untuk bekerja, rakan sama berniaga dan rakan dalam bidang sukan yang saling membantu dan juga menyaingi.

Ada rakan membawa kebaikan, ada yang melalaikan, ada rakan yang hidup berpaksikan kedua-dua dunia dan akhirat. Juga ada rakan yang menikam dari belakang. Hakikatnya, ramai daripada kita mempunyai rakan yang hanya sesuai di dunia semata-mata.

Rakan dan sahabat itu penting. Namun pilihlah sahabat mukmin yang dapat memelihara akidah dan melindungi kehidupan akhirat kita. Perlu diterokai rangkaian sahabat yang baru. Jika ada di masjid, dampingilah mereka. Kita menjadi lebih hampir dengan Al-Quran dan hadis. Kita mahu HAMPIR DENGAN ALLAH. Kita tidak mahu menyesal dan menggigit tangan di akhirat nanti.

“Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya dengan penuh penyesalan sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si fulan sebagai sahabat karib. Dia telah menyesatkan aku daripada mengingati pesanan(Allah) setelah peringatan diri daripada kejahatannya terhadap manusia.” (Surah Al Furqan ayat 27-29).


Ada orang kata "Setia dalam cinta itu mahal". Tapi, setia dalam cinta sesama manusia yang semata-mata berdasarkan perasaan dan paras rupa itu tidak kukuh, bahkan rapuh. Ketika bercinta, kedudukan ALLAH bukan lagi di tempat UTAMA dalam hati pasangan tersebut. Tempat-NYA sudah diganti oleh orang yang dicintai dan dipuja-puja (dah jadi macam BERHALA pulak).

Namun, jika ALLAH menghendaki, mudah saja bagi-NYA untuk membuatkan kesetiaan dalam cinta seperti itu berpaling arah. Dalam keadaan kecewa, hamba itu kembali kepada-NYA. Dan ketika itu ALLAH  menduduki tempatnya yang utama semula. DIA mendengar setiap rintihan hamba yang sedang kecewa, dan jika DIA menghendaki, akan diberikan-NYA kekuatan IMAN dan TAQWA kepada hamba tersebut.


Satu ketika Nabi Musa  Alaihissalam bertanya: "Wahai Tuhanku, darjat apakah di Syurga yang paling Engkau cintai?"

ALLAH S.W.T. menjawab: "Wilayah kesucian"

Bertanya lagi Nabi Musa: "Siapakah yang ditempatkan di situ?"

ALLAH S.W.T. menjawab: "Orang-orang yang ditimpakan ujian dan mereka bersabar."

Subhanallah… Maha Suci Allah.


Comments

Popular posts from this blog

9 WASIAT ALLAH DALAM AL HUJURAT

9 wasiat ALLAH dalam Surah Al-Hujurat tentang interaksi sesama manusia..  Wasiat 1: “فَتَبَيَّنُوٓاْ”  Selidik suatu khabar yang sampai padamu, biar betul dan jelas.. Wasiat 2: “فَأَصۡلِحُواْ ”  Damaikan saudara yang bersengketa. Jangan jadi batu api atau melaga-lagakan.. Wasiat 3: “وَأَقۡسِطُوٓاْ‌ۖ”    Berlaku adil. Jangan pilih bulu, tak kira siapa.. Wasiat 4: “لَا يَسۡخَرۡ”  Jangan mencemuh/merendahkan orang lain. Jangan mudah mengeji dan menghina orang.. Wasiat 5: “وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ”   Jangan mengaibkan. Jangan buka aib orang.. Wasiat 6: “وَلَا تَنَابَزُواْ”   Jangan melabel. Jangan cepat nak melabel orang atau kumpulan, perkara yang belum jelas.. Wasiat 7: “ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ” Jauhi dari banyak berprasangka buruk. Jangan cepat percaya sesuatu perkara, siasat dahulu.. Wasiat 8: “وَلَا تَجَسَّسُواْ”  Jangan mencari-cari kesalahan orang lain. Biar ALLAH menentukan.. Wasiat 9: “وَلَا يَغۡتَب”  Jangan mengumpat. ...

BANGKITLAH!

Dalam menjalani kehidupan jangan terlalu meletak harapan kepada manusia, kerana harapan itu akan berhujung dengan kesedihan dan kekecewaan. Tetapi bergantung haraplah kepada ALLAH. Dengan DIA, kita tidak akan rasa sakit, kecewa, sedih dan seumpamanya. ALLAH Maha Mengetahui setiap perlakuan hamba-Nya. Seperti firman ALLAH dalam surah Al Insyirah ayat 8 : وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَب "Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." Allah datangkan ujian supaya kita jadi kuat dan bijak menangani permasalahan. Allah tangguhkan sesuatu supaya kita bersabar menanti ketibaannya. Allah hilangkan sesuatu supaya kita redha dengan ketentuan-Nya. Dalam hidup ini percayalah, tidak ada orang yang tidak pernah terjatuh, bukan sekali malah berkali-kali. Pun begitu jangan biarkan diri berada dalam keadaan terjelepuk di bawah seperti itu terlalu lama. Bingkaslah dan bangkitlah, setiap kali kita terjatuh. Ada pengajaran dan pengalaman berharga yang kita perolehi d...

SUSAH KE NAK DAPAT RM1 PERTAMA?

“Susah ke nak buat sales RM1juta…?” Tak susah pun. Meyh saya ajar PERCUMA!. Penting ke capai sales RM1juta ni? Penting. Mula-mula kita belajar dulu capai Sales RM1juta. Lepas tu kita belajar buat untung/profit RM1juta. Lepas tu kita belajar buat simpanan RM1juta. Lepas tu kita belajar buat pelaburan RM1juta. Lepas tu kita belajar infaq RM1juta. Lamsam aa RM1juta tu. Bukan terkumpul RM1juta. Sepanjang perjalanan tuu memang kita kena infaq dan sedekah jugak oke. NEXT! Macam mana nak capai jualan RM1juta tu? Kita bahagikan dengan 2 bahagian. Bahagian 1: LOGICAL Bahagian 2: SPIRITUAL (Pembahagian ni saya dapat dari Mat Saleh yang saya sesuaikan dengan keadaan masyarakat Malaysia.) Kalau kita pergi belajar mana-mana kelas pun. Balik-balik dia akan sebut apa yang saya akan sebut nanti di bawah. So, sila bersedia. Perjalanan masih jauh ni. Kata nak capai RM1juta. HAHA. OKE. Sebelum tu lagi, orang akan tertanya. “Siapa Malik ni nak ajar orang cara capai RM1juta. Dia dah capai ke?” “Kalau dah p...